Kecewa Persebaya Kalah, Bonek Bakar Padang Di Stadion Gelora Bung Tomo

Suasana Stadion Gelora Bung Tomo Surabaya bertukar kepada kekacauan secara tiba-tiba. Ini selepas wisel penamat menyaksikan Persebaya kalah 2-3 di tangan PSS Sleman dalam aksi Liga 1 di Indonesia.

Perlawanan tersebut berlangsung pada semalam. Penyokong Persebaya yang juga digelar Bondho Nekat ataupun panggilan pendeknya Bonek, telah melepaskan amarah mereka.

Bonek menyerbu masuk ke dalam padang dan menyeret papan-papan di sekitar padang, lalu dibakarnya di tengah padang.

Bonek sangat marah kerana pasukan mereka tak menang dalam kesemua 6 perlawanan berturut-turut.

Ini juga kekalahan kelapan mereka di dalam Liga 1 setakat ini. Meletakkan Persebaya di tangga ke-9. Manakala pasukan PSS Sleman berjaya mendaki ke tangga ke-5.

Stadion Gelora Bung Tomo merupakan salah satu daripada stadium yang akan digunakan dalam penganjuran Piala Dunia Belia pada 2021. Ianya antara stadium yang terbaik di Indonesia.

Indonesia berjaya dalam bidaan mereka walaupun ketika itu proses bidaan mereka dicemari dengan insiden keganasan penyokong di Stadion Gelora Bung Karno, dalam aksi Indonesia berhadapan dengan Malaysia.

Kekecohan berlaku apabila Indonesia tewas kepada Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Dalam insiden yang berlaku di Gelora Bung Tomo semalam, habis fasiliti dirosakkan oleh para penyokong yang bengang. Persebaya yang diberi gelara Bajul Ijo ketinggalan 1-3 di tangan pasukan pelawat.

Sudah ada bibit-bibit kemarahan daripada Bonek, namun mereka masih bersabar dan tidak meninggalkan tempat duduk masing-masing.

Persebaya berjaya mencetak gol kedua untuk merapatkan kedudukan kepada 2-3. Namun ianya tidak cukup untuk meredakan kemarahan para Bonek.

Keadaan menjadi semakin tegang dan suar mulai dibakar dengan banyak. Petugas keselamatan kemudian mengarahkan penyokong bersurai dan mengosongkan stadium.

Akibat terlalu marah, ketika dalam proses evakuasi, sekumpulan penyokong telah bertindak liar dan masuk ke padang. Mereka membakar papan dan suar di tengah padang.

Insiden tersebut tular di media sosial. Saluran berita di Indonesia juga dengan cepat membuat liputan.

Ini merupakan insiden yang sangat liar melibatkan penyokong di Indonesia. Dalam beberapa tahun ini, bola sepak Indonesia dicemari dengan beberapa insiden yang tidak diingini.

Diharap segalanya akan kembali baik-baik sahaja. Insiden keganasan penyokong seperti ini harus dibendung. Ini kerana kita semua tidak mahu bola sepak dicemari dengan perkara-perkara yang kita tak diingini.

Keselamatan semua pihak sangat penting termasuk penyokong, pemain, pegawai dan semua yang berkaitan. Kita tidak mahu datang tengok bola dengan nyawa dan keselamatan menjadi taruhan.

Berdasarkan jadual, Persebaya akan beraksi dalam satu lagi aksi di tempat sendiri, di Stadion Gelora Bung Tomo selepas ini, berhadapan dengan PSM.

Perlawanan tersebut sepatutnya berlangsung pada 2 November 2019 ini.

Namun Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pastinya akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas insiden ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.