Keanggunan Floyd Mayweather

Lahir pada 24 Februari 1977 di Grand Rapids, Michigan, beliau memenangi tiga anugerah Golden Gloves kebangsaan dan pingat gangsa Olimpik sebelum menceburi sukan tinju professional pada 1996.

Floyd Mayweather Jr memenangi gelaran Super Featherweight Championship yang pertama pada tahun 1998. Floyd seterusnya menjuarai gelaran dalam lima kategori berat sambil mempertahankan rekod tanpa kalahnya sehingga kini!

Beliau adalah fighter pound-for-pound terbaik dalam sejarah Amerika.

Tahun Awal

Dianggap sebagai peninju terbaik yang pernah lahir pada eranya, Floyd Mayweather Jr lahir dalam keluarga yang menjadikan tinju sebagai karier. Darah tinjunya mengalir daripada bapanya, Floyd Mayweather Sr, seorang bekas pencabar kejuaraan Welterweight.

Bapa saudaranya, Jeff Mayweather pula adalah bekas penyandang juara IBO Super Featherweight. Seorang lagi bapa saudaranya, Roger Mayweather adalah bekas juara WBA Super Featherweight dan WBC Super Lightweight.

Floyd Mayweather Sr. and Jr. | Foto : Pc Mode

Bapanya, Floyd Sr, memperkenalkannya kepada gym sebaik sahaja beliau pandai berjalan. Beliau ditugaskan untuk memegang speed bag ketika bapanya berlatih. Tidak lama kemudian Floyd menumbuk apa sahaja yang lalu di hadapan mukanya.

Pada usianya tujuh tahun, beliau dihadiahkan sepasang glove kerana bapanya menganggap tangan Floyd sudah cukup fit untuk menyarung glove dan melepaskan tumbukan.

Usia mudanya kemudian banyak dihabiskan di gym kawasan kejiranannya yang cuma terletak lima pintu dari rumah keluarganya. Disebabkan pengaruh yang kuat dalam keluarganya, beliau berazam untuk berjaya suatu hari nanti di dalam sukan tinju mengikut jejak langkah bapa serta bapa saudaranya.

Bagaimanapun kehidupan beliau sekeluarga adalah sangat menyukarkan dan tak seindah yang disangka. Bapanya adalah seorang yang panas baran dan selalu mencetuskan masalah, beliau juga adalah seorang pengedar dadah.

Bapanya pernah ditembak di kaki ketika sedang mendukung Floyd yang ketika itu masih bayi pada tahun 1978. Pada tahun 1993 bapa Floyd Mayweather dipenjarakan atas kesalahan mengedar kokain.

Kecemerlangan

Disebalik latar belakang keluarganya yang huru hara, Floyd menemukan kedamaian sendiri di dalam gelanggang. Dikenali sebagai Pretty Boy atau budak jambu kerana wajahnya yang bersih tidak berparut.

Dengan kepantasan dan ketepatan tumbukan yang dimiliki, Floyd merangkul anugerah Golden Gloves pada tahun 1993, 1994 dan 1996.

Rekodnya ketika amatur adalah 84-6, karier amaturnya berakhir pahit dengan kekalahan kontroversi pada peringkat separuh akhir dalam Sukan Olimpik 1996 kepada peninju Bulgaria, Serafim Todorov. Beliau kemudian bangkit untuk memenangi pingat gangsa.

Pretty Boy | Foto : AFP/Getty Images

Floyd kemudian ingin lebih serius dalam sukan tinju dan beralih kepada karier professional pada Oktober 1996. Selepas dibebaskan, bapanya dilantik sebagai pengurus dan jurulatih peribadi beliau.

Hasilnya, beliau cemerlang dan memenangi banyak pertarungan dengan rekod yang mengagumkan. Pada tahun 1998, beliau memenangi kejuaraan dunia yang pertama dengan mengalahkan Genaro Fernandez dan memegang gelaran WBC Super Featherweight Champion.

Detik kemuncaknya bermula pada awal tahun 2000 ketika beliau dalam keadaan yang terbaik dan berjaya mendominasi sukan tinju dunia selama tujuh tahun. Peminat mula membanding-bandingkannya dengan lagenda tinju dunia yang lain seperti Muhammad Ali dan Mike Tyson.

Pada waktu ini beliau berjaya merangkul gelaran WBC Lightweight pada tahun 2002, WBC Super Lightweight pada tahun 2005, dan gelaran IBF, IBO WBC dan IBA Welterweight pada tahun 2006.

Pada tahun 2007 beliau mengalahkan Oscar De La Hoya untuk memenangi mahkota kejuaraan WBC Super Welterweight.

Kejayaan ini membolehkan beliau meraih pendapatan yang sangat lumayan melalui pertarungan-pertarungan yang telah beliau sertai. Pada tahun 2010 beliau adalah atlet ketiga termahal di Amerika dengan pendapatan tahunan sebanyak 60 juta dollar.

Kejayaan dan kekayaan yang dimiliki itu hanya menyemarakkan lagi sikap bongkak dan ego beliau. Dalam sukan yang memerlukan keberanian dan kejantanan yang tinggi, beliau terbukti adalah antara seorang peninju yang sangat angkuh.

“Matlamat saya ialah untuk menjadi seorang peninju terbaik yang pernah hidup. Karier dan legasi sangat penting untuk saya.” –Floyd Mayweather.

Profilnya berkembang dengan sangat baik, Floyd membawa pesona bintangnya ke dalam rancangan TV. Pada tahun 2007, ketika promosi tentang pertarungannya dengan Oscar De La Hoya sedang giat dihebahkan, Floyd telah mengambil bahagian di dalam rancangan empat bahagian dokumentari HBO yang disiarkan secara langsung yang menjadikannya sebagai selebriti termahal pernah dibayar.

Kemudian pada tahun itu juga Floyd menjadi peserta di dalam rancangan Dancing With The Stars kelolaan saluran ABC Channel.

Masalah Peribadi

Keluarga Floyd kadangkala sering mencetuskan masalah yang memberi kesan kepada perjalanan karier beliau. Pada tahun 2000, beliau telah memecat bapanya sebagai pengurus.

Hubungan mereka menjadi tegang kemudiannya yang membawa kepada pemecatan bapanya sebagai jurulatih pula. Bapa saudaranya, Roger mengambilalih tugas yang ditinggalkan oleh bapanya.

Angkuh dan Kaya | Foto : Later Cera

Lumrah seorang fighter, Floyd juga beberapa kali terlibat dengan pergaduhan di luar gelanggang. Pada disember 2011, hakim mahkamah Las Vegas telah menjatuhkan hukuman penjara selama 90 hari kepada beliau atas kesalahan mencetuskan keganasan.

Memang semenjak dari 2002 beliau seringkali ditahan atas kesalahan yang sama di Las Vegas dan tempat lahirnya, Grand Rapids.

Kecemerlangan Berterusan

Floyd mengejutkan dunia sukan apabila mengumumkan persaraannya selepas mengalahkan Ricky Hatton pada lewat tahun 2007. Beliau kemudiannya kembali dari persaraan pada september 2009 untuk pertarungan dengan Juan Manuel Marquez. Beliau telah memenangi pertarungan itu dengan keputusan sebulat suara juri dan berjaya meraih pendapatan hampir 60 juta dollar.

Lapan bulan kemudian beliau memenangi pertarungan 12 pusingan dengan Shane Mosley di MGM Grand Arena, Las Vegas. Pada May 2012, Floyd sekali lagi memenangi pertarungan sengit 12 pusingan keatas Robert Guerrero dan merangkul kejuaraan WBC Welterweight Champion serta melebarkan rekod tanpa kalahnya kepada 44-0.

Beliau seterusnya memenangi tiga lagi pertarungan dan kemudian bersetuju untuk bertarung dengan juara divisyen lapan, Manny Pacquiao di MGM Grand Arena pada tahun 2015. Perlawanan yang disifatkan sebagai Fight Of The Century itu telah dimenangi oleh Floyd setelah juri sebulat suara menabalkan beliau sebagai pemenang.

Rekod tanpa kalah beliau masih kekal sehingga kini dan pada Ogos ini beliau dijangka akan bertarung pula dengan superstar UFC, Conor McGregor.

Jika anda berasa tidak puas hati, bapa kepada empat orang anak ini tinggal di Las Vegas dan bersedia untuk menyahut pertarungan dengan anda pada bila-bila masa.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sharell Eizwan untuk diterbitkan di Sukan.my

Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.