Keane Yakin United Mampu Cabar Kejuaraan Liga Musim Ini

Roy Keane dengan yakin dan beraninya telah membuat ramalan berkait usaha Manchester United dalam mencabar kejuaraan saingan premier league musim ini selepas kejayaan mereka membenam Leeds United 6-2 semalam.

Keane berada di studio Sky Sports ketika setan merah mempamerkan aksi persembahan terhebat mereka dalam saingan premier league musim ini.

United beraksi dengan sangat cemerlang dalam perlawanan Roses derby semalam selepas 16 tahun kedua-dua pasukan itu tidak bertemu dalam saingan premier league.

Pasukan tuan rumah berjaya membenam skuad yang mengamalkan teknik serangan bertubi-tubi di bawah kendalian Marcelo Bielsa 6-2 lalu naik ke kedudukan ketiga dalam carta saingan liga musim ini.

Kemenangan yang cukup luar biasa walau Ole Gunnar Solskjaer sendiri tidak menjangka skuadnya akan beraksi seperti itu, bahkan McTominay sendiri tidak menduga beliau akan menjaringkan dua gol seawal tiga minit permainan.

Walau bagaimanapun, bekas ketua pasukan United, Keane merasakan bahawa setan merah akan menjadi ancaman terbesar kepada Liverpool dalam usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga musim ini.

United kini hanya lima mata sahaja dipisahkan dari Liverpool yang berada di puncak saingan liga dan mereka masih kekurangan baki satu perlawanan yang belum dimainkan.

Keane ketika itu berada dalam mood yang sungguh luar biasa gembira dan beliau juga sempat mengusik McTominay dengan menyatakan bahawa rambut barunya punca kepada persembahan mantap yang beliau pamerkan.

Pemain berusia 24 tahun itu turun beraksi di Old Trafford semalam dengan gaya potongan rambut yang baru.

Beliau juga dalam perlawanan semalam cemerlang menjaringkan dua gol dalam kemenangan 6-2 United menewaskan seteru mereka Leeds United.

Dua gol jaringan Bruno Fernandes dan satu gol dari Victor Lindelof dan Daniel James melengkapkan kemenangan besar setan merah dalam perlawanan semalam.

Dua gol sagu hati untuk Leeds United pula telah dijaringkan oleh Cooper dan Stuart Dallas yang berjaya juga menghasilkan jaringan walau pasukannya dibelasah teruk oleh setan merah.

Manchester United mempamerkan aksi sepasukan yang cukup mantap ketika membelasah skuad kendalian Marcelo Bielsa itu sementara McTominay pula telah diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.

Keane telah memberikan pujian menggunung kepada beliau selepas tamat perlawanan itu dengan menyatakan:

“Scott Mctominay semakin matang.”

Dakwa legend Old Trafford itu.

“Saya benar-benar sukakan dia. Bahkan saya suka potongan rambut dia, saya rasa potongan rambut dia buat dia semakin tajam dalam perlawanan ini.”

“Ianya perlawanan yang sempurna untuk dia. Saya juga suka melihat dia.”

Keane bukanlah satu-satunya legenda dan bekas pemain United yang memuji McTominay, Ole Gunnar Solskjaer sendiri juga sangat gembira dengan aksi pemain midfieldnya itu bersama kesemua anak-anak buah beliau dalam perlawanan itu.

Peminat bola sepak juga turut berbangga dengan aksi yang dipamerkan oleh beliau dan turut menyamakan beliau dengan beberapa legenda kelab.

Manchester United kini melonjak ke kedudukan ketiga dalam carta liga selepas kemenangan semalam, dan mereka hanya dipisahkan lima mata sahaja dari pendahulu, Liverpool.

Namun mereka masih lagi kekurangan satu perlawanan yang belum dimainkan, dan andai United memenangi perlawanan itu, mereka hanya dua mata sahaja lagi di belakang sang penakluk dunia itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.