Kante Dipikul Selepas Beliau Memikul Chelsea Hingga Bergelar Juara Eropah Musim 2020/21

N’Golo Kante telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika aksi perlawanan akhir Champions League bertemu Man City awal pagi tadi.

Beliau berjaya mendominasi bahagian midfield dengan sungguh cemerlang dalam aksi kemenangan 1-0 Chelsea menewaskan Manchester City itu.

Ketika wisel penamat dibunyikan, selepas mempamerkan aksi persembahan yang begitu menakjubkan, Kante telah dipikul oleh Kurt Zouma dan dibawa mengelilingi padang.

Aksi Zouma memikul Kante berjaya mencuri tumpuan peminat yang merasakan Kante dipikul selepas beliau memikul Chelsea hingga berjaya menjuarai saingan Champions League musim ini.

Beliau dipikul oleh rakan sepasukannya yang lain ketika meraikan kejayaan The Blues dan tidak keterlaluan untuk katakan itulah waktu dan ketikanya Kante berhenti berlari dan dapat berehat.

Sepanjang 90 minit permainan, pemain kebangsaan Perancis itu tidak henti-henti berlari dan sentiasa berada di setiap pelusuk padang demi mematikan serangan dari jentera serangan City.

Dalam perlawanan yang mana Pep Guardiola tidak menggunakan khidmat pemain di posisi defensive midfielder, Kante jelas berjaya mempamerkan rentak permainan yang sungguh menakjubkan.

Beliau menunjukkan seni permainan yang sungguh mengagumkan dengan membantu jentera serangan untuk build up, sentiasa memenangi possession dan sentiasa berada di ruang kosong ketika The Blues memenangi bola.

Kante tidak pernah kenal erti penat. Terdapat begitu banyak aksi hebat yang telah beliau pamerkan dalam perlawanan ini dan ia jelas satu hal yang sungguh mengagumkan.

Beliau sempat membuat terjahan bersih dari belakang ke atas Kevin De Bruyne dengan bintang City itu jelas berpeluang untuk menjaringkan gol pada ketika itu.

Kai Havertz menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan ini seterusnya gol tersebut merupakan gol kemenangan Chelsea untuk menewaskan Manchester City.

Beliau menerima bola lorongan dari Mason Mount dan berjaya memanfaatkan kesilapan Ederson yang naik ke atas tetapi gagal untuk memenangi bola dan kemudian menyudahkan gerakannya dengan sungguh tenang untuk merobek gawang gol City.

Walau bagaimanapun, anugerah pemain terbaik dalam perlawanan ini jelas menjadi milik N’Golo Kante yang berjaya mendominasi bahagian tengah padang.

Beliau sentiasa menjadi tembok penghalang utama untuk jentera serangan City masuk ke dalam kotak penalti Chelsea.

Selain Kante, beberapa pemain Chelsea juga telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan ini.

Antonio Rudiger, Reece James, Cesar Azpilicueta, Ben Chilwell dan Kai Havertz turut melalui perlawanan yang dianggap terbaik untuk mereka sepanjang musim ini.

Tidak keterlaluan untuk menamakan Kante sebagai calon kegemaran yang bakal memenangi anugerah Ballon D’or tahun ini selepas melihat sumbangan dan persembahan beliau.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.