Kaiser – Penipu Tegar Dalam Sejarah Bola Sepak

Ketika internet belum lagi dicipta, wujud seorang pemuda yang mempunyai impian untuk menjadi pemain bola sepak yang terkenal. Carlos Henrique mungkin satu nama yang tidak dikenali hari ini tetapi sebenarnya dia adalah merupakan lagenda penipu dalam bola sepak sehingga digelar ‘Kaiser’.

Menurut Henrique, nama Kaiser diberikan kerana persamaannya dengan lagenda Jerman, Franz Beckenbauer. Dalam karier selama 30 tahun, Henrique telah ‘bermain’ banyak kelab sekitar Brazil, Mexico, Amerika Syarikat dan juga Perancis. Setelah berhempas pulas dalam kariernya, Kaiser akhirnya bersara.

blank
Kaiser ketika muda

Ketika kecil, seperti impian kebanyakan kanak-kanak di Brazil, Kaiser mahu menjadi pemain bola sepak. Sebenarnya dia agak berbakat ketika muda dan telah disunting oleh kelab Mexico, Puebla. Walaubagaimanapun, dia sedar bahawa bakatnya sebenar tidak cukup untuk menempa nama dalam sukan ini, tetapi tidak putus asa.

Bermula Kisah Penipuan

Berkawan rapat dengan pemain ternama seperti Romario, Renato Gaucho dan Edmundo, Kaiser berjaya bergiat sebagai pemain bola separuh masa dan menipu sepenuh masa. Disebabkan hubungannya dengan pemain-pemain di atas, Kaiser berjaya mendapatkan tempoh percubaan sekurang-kurangnya selama tiga bulan dengan beberapa kelab.

Sebaik sahaja diterima bermain, Kaiser mula melancarkan modus operandinya. Pertama, dia akan meminta kelab untuk memberikan masa kepadanya untuk meningkatkan kecergasan sebelum dia mampu untuk turun bermain dalam perlawanan sebenar, dan apabila dia menyertai sesi latihan, dia akan berpura-pura jatuh dan memegang hamstring sambil meraung kesakitan.

Disebabkan ketika itu tiada peralatan untuk memeriksa tahap kecederaan seperti hari ini, kelab tiada pilihan selain mempercayai kecederaannya’, sekaligus membiarkannya menjalani rawatan dan pada masa yang sama, dia mendapat gaji daripada kelab. Dengan kata lain, Kaiser akan menerima gaji buta di setiap kelab yang disertainya.

blank

Dengan status sebagai pemain bola sepak, Kaiser menggunakan gelaran tersebut untuk memuaskan nafsunya bersama wanita-wanita. Meskipun berjaya menipu banyak pihak, perancangannya tidaklah selalu berjalan lancar.

Di Botafogo, dia sering membawa telefon bimbit yang besar. Lambang kekayaan ketika itu – menggunakannya untuk membuat panggilan palsu dalam Bahasa Inggeris dan mengatakan bahawa terdapat kelab-kelab eropah yang berminat untuk mendapatkannya. Memandangkan rakan sepasukannya tidak menguasai bahasa Inggeris, mereka serta merta percaya akan kata-kata Kaiser, kecuali doktor pasukan yang mendapat pendidikan di England.

Mungkin bahasa Inggeris Kaiser agak teruk, maka doktor tersebut bernekad untuk menyiasat sendiri latar belakang Kaiser. Dalam siasatannya, mereka menemui bahawa telefon bimbit Kaiser sebenarnya merupakan mainan!

Penipuan di Kelab Brazil

Pada awal 1990-an, Kaiser menyertai satu lagi kelab Brazil, Bangu. Untuk memikat Bangu, Kaiser mengatakan bahawa dia merupakan penjaring terbanyak dalam liga di negara lain dan presiden kelab terus mempercayainya. Di Bangu, Kaiser mempunyai satu masalah iaitu dia perlu selalu bermain. Ini kerana presiden kelab mahukan penyerang bintang mereka untuk selalu mengetuai barisan serangan.

Ketika masih dalam proses menerima ‘rawatan’ akibat kecederaan palsu, Kaiser terkejut kerana dipilih untuk membarisi kesebelasan utama dengan jaminan ketua jurulatih bahawa dia akan mendapat perlindungan daripada pengadil. Ketika memanaskan badan, Kaiser sangat risau reputasinya akan jatuh jika bermain dengan teruk, lantas dia terfikir satu idea yang bernas.

blank
Keratan Akhbar Kisah Kaiser

“Kaiser memanjat pagar mengeluarkan kata-kata kesat kepada penonton sendiri!”

Perancangannya berjaya dan Kaiser dilayangkan kad merah oleh pengadil sebelum menjejakkan kaki ke padang! President kelab yang berang dengan tindakannya itu, meminta penjelasan daripada Kaiser.

“Sebelum saya berkata apa-apa. Presiden dengar dahulu apa yang saya ingin katakan. Tuhan bagi saya seorang ayah dan telah meninggal dunia. Tetapi tuhan bagi lagi saya seorang ayah” kata Kaiser sambil memegang bahu presiden kelab.

“Penonton memaki hamun saya tidak mengapa. Tetapi mereka mengatakan ayah saya seorang pencuri! Terus saya memaki hamun mereka kembali” tambah Kaiser.

Presiden kelab tidak dapat menahan air mata lalu menambah kontrak Kaiser selama enam bulan!

Ke Kelab Perancis

Kaiser ingin menguji kehebatannya di Perancis pula dengan menyertai Ajaccio – pasukan di pulau Corsica. Ketika itu, bola sepak Brazil sangat dipandang mulia dan kehadiran seorang pemain import yang berasal dari negara samba tersebut pastinya menambahkan ghairah peminat untuk memberikan sokongan.

Dalam sesi latihan pertama Kaiser bersama Ajaccio, ribuan peminat telah membanjiri stadium untuk melihat bintang baru berlatih. Menyedari reputasinya akan jatuh, Kaiser mengambil setiap bola lalu ditendangnya ke arah penyokong, konon-kononya sebagai hadiah kepada mereka yang sudi hadir.

Memandangkan mereka kehabisan bola, maka latihan pada hari tersebut hanya memfokuskan kepada tahap kecergasan dan Kaiser tidak ada masalah dalam hal ini. Walaupun kerap ‘cedera’ bersama Ajaccio, Kaiser kekal di sana selama beberapa tahun sebelum bersara. Secara totalnya, sepanjang 20 tahun karier bola sepaknya, Kaiser sekadar bermain sebanyak 30 perlawanan!

Dia mungkin bukan bintang seperti Pele, Maradona & Romario, tetapi ceritanya wajar disampaikan untuk generasi berikutnya supaya peminat dan penyokong bola sepak tidak lagi tertipu dengan dakyah sebegini rupa.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.