Kai Havertz Akui EPL Sukar, Tetapi Yakin Chelsea Akan Raih Mata Lawan Liverpool

Hanya selepas melalui satu perlawanan bersama Chelsea, Kai Havertz terpaksa mengakui bahawa saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih mencabar dari saingan di Bundesliga Jerman.

Havertz diberikan kepercayaan oleh Frank Lampard untuk aksi pertama menentang Brighton & Hove Albion walaupun hanya beberapa hari menyertai pasukan itu.

Bagaimana pun Havertz hanya beraksi selama 80 minit dalam perlawanan ini, dan belum mampu menampilkan prestasi terbaik sepertimana aksi beliau bersama Bayer Leverkusen di Bundesliga.

“Perlawanan itu amat berat dan sukar kerana saya baru kembali dari cuti yang panhang dan baru kembali berlatih bersama pasukan selama 5-6 hari sebelum itu,” kata pemain muda itu.

“Perkara terpenting ialah kami telah memenangi perlawanan tersebut, jadi saya gembira dengan debut ini.”

Havertz juga berkata pertandingan di EPL menyajikan persaingan yang lebih sengit berbanding yang dilaluinya sebelum ini di Bundesliga.

“Liga Perdana Inggeris lebih sukar berbanding di Bundesligal. Saya sudah melaluinya baik ketika latihan, dan juga ketika perlawanan.

“Namun demikian saya tetap berbangga kerana mampu beraksi selama 80 minit dan berharap akan diturunkan pada perlawanan seterusnya,” kata Havertz lagi.

Pada perlawanan kedua nanti Chelsea akan berhadapan tugas berat berhadapan juara bertahan Liverpool. Ia adalah perlawanan yang amat dinanti-nantikan oleh Havertz.

“Mereka [Liverpool] adalah salah satu pasukan terbaik di dunia, dan kami memiliki rasa hormat terhadap mereka. Tetapi kami juga adalah sebuah pasukan yang bagus.

“Perlawanan nanti akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar, tetapi ia juga adalah perkara sama buat mereka. Kami akan bekerja keras dan pada pendapat saya kami mempunyai peluang amat baik untuk meraih mata,” tambah Havertz.

Havertz baru berusia 21 tahun namun mempunyai pengalaman cukup panjang beraksi di Bundesliga.

Termasuk musim lalu, Havertz sudah beraksi bersama Bayer Leverkusen selama empat musim. Sebagai pemain penyerang, Havertz jelas merupakan seorang pemain yang cukup produktif apabila telah mencetak 38 gol pada dua musim terakhir di Jerman.

Adakah Havertz sengaja menyimpan aksi terbaiknya demi menumbangkan juara bertahan, Liverpool pada hujung minggu akan datang?

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.