Kabaddi adalah sukan yang paling popular di India dan juga di negara sekitarnya ataupun Asia Selatan. Sukan ini kian berkembang di Asia dan dunia.
Di Malaysia, salah satu sukan yang mirip dengan kabaddi ini adalah permainan tradisional galah panjang. Namun kabaddi adalah sukan yang lebih fizikal.
Kini, di India ada liga Kabbadi mereka sendiri dalam usaha mereka memartabatkan sukan tradisi mereka ini. Peraturan asas sukan ini adalah mudah.
Ianya dimainkan oleh 2 pasukan yang terdiri daripada 7 pemain setiap sebelah. Mereka akan bertarung dalam satu gelanggang yang berbentuk sisi empat. Ianya ada 2 babak dengan setiap babak dimainkan 20 minit.
Pemain serangan akan cuba berlari melepasi garisan tengah dan cuba menyentuh pemain lawan. Selepas menyentuh seberapa banyak pemain lawan yang mereka mampu, mereka akan berlari semula ke kawasan sendiri.
Pemain yang menyerang boleh menyentuh pihak lawan dengan menngunakan tangan, kaki dan juga beberapa skil lain.
Pemain pertahanan akan cuba menangkap mereka dan memastikan pemain serangan ini tadi tidak mampu menyentuh garisan tengah. Pemain yang menyerang haruslah berterusan menyebut kabaddi, kabbadi, kabbadi.
Gelanggang
Gelanggang kabaddi adalah berbentuk segi empat tepat dengan luas biasanya 13 meter x 10 meter. Untuk wanita, saiz gelanggang adalah lebih kecil. Ada beberapa jenis garisan di dalam gelanggang kabaddi.
1. Garisan sempadan – garisan luar. Pemain yang melepasi garisan ini dianggap terkeluar daripada kawasan permainan
2. Garisan kawasan permainan – satu kawasan segi empat di dalam gelangang dengan jarak 1 meter daripada garisan sempadan.
3. Garisan tengah – garisan pemisah di antara 2 pasukan
4. Baulk lines – garisan kedua selepas garisan tengah
Pertarungan!
Permainan ini secara tradisionalnya dimainkan oleh 4 pemain dan 3 pemain lagi sebagai simpanan. Namun kini sukan kabaddi banyak dimainkan dengan 7 pemain.
Siapa yang akan ‘jalan’ dahulu akan ditentukan dengan balingan syiling. Ada juga kaedah lain yang digunakan, asalkan kedua-dua pasukan berpuas hati.
Pasukan yang jalan dulu akan menghantar seorang ‘raider’ (penyerbu) untuk melepasi garisan tengah. Raider ini akan menyerbu kawasan lawan cuba menyentuh seberapa ramai pemain lawan yang boleh.
Setiap pemain yang mereka sentuh mewakili 1 mata. Dan selepas setuhan dibuat, mereka akan cuba kembali ke kawasan mereka iaitu dengan menyentuh ataupun melepasi garisan tengah.
Jika berjaya, mereka dikira ‘selamat’. Raider harus berterusan menyebut kabaddi dan tidak boleh berhenti ataupun menarik nafas sebelum perjuangan dia tamat.
Jika raider tiba tiba berhenti menyebut kabaddi ataupun menarik nafas di kawasan lawan, dia perlu cepat-cepat berlari kembali ke kawasan pasukannya. Namun tiada mata akan diberikan dan pasukan yang bertahan akan diberikan mata.
Banyak pasukan pertahanan bermain dalam keadaan berpegang tangan untuk cuba menarik rakan mereka yang cuba disentuh oleh raider lawan.
Apabila rakan mereka sudah disentuh / raided pemain lain akan menjadi ‘anti-raider’ ataupun stopper dan menghalang raider daripada melepasi atau menyentuh garisan tengah.
Anti-raider boleh menggunakan teknik, membentes, menangkap dalam pertarungan yang agak fizikal dengan beberapa gerakan yang dibenarkan. Namun mereka tidak boleh menarik baju, rambut dan beberapa bahagian lain.
Pasukan menyerang dan bertahan akan bergilir-gilir sehinggalah 20 minit pertama tamat. 5 minit rehat dan 20 minit lagi untuk separuh masa kedua.
Separuh masa kedua, 2 pasukan bertarung akan bertukar kawasan. Pasukan yang mengumpul paling banyak mata adalah pemenang.
Pemain simpanan hanya boleh menggantikan pemain yang masih tidak terkeluar daripada permainan. Pemain akan terkeluar jika mereka disentuh oleh raider dan raider tersebut berjaya kembali semula ke kawasan mereka.
Raider pula boleh terkeluar sekiranya ditangkap ataupun dikeluarkan oleh anti-raider selepas mereka menyentuh pihak lawan.
Jika pasukan menyerang tidak aktif iaitu dengan kembali semula ke kawasan mereka tanpa menyentuh pemain lawan 3 kali berturut-turut. Raider yang ke-3 yang berbuat demikian akan terkeluar.
Jika ada pemain pertahanan masuk ke kawasan lawan sebelum peraturan anti-raider diaktifkan, mereka juga dikira terkeluar.
Anda boleh menghidupkan rakan anda yang sudah terkeluar. Setiap kali anda mendapat markah, setiap kali itulah anda boleh menghidupkan semula rakan anda. Sama ada anda pasukan menyerang ataupun bertahan.
Semakin banyak mata, semakin banyak rakan yang anda boleh hidupkan. Ada beberapa lagi sistem kiraan khas di dalam kabaddi
1. Lona – peraturan di mana semua pemain lawan terkeluar daripada persaingan dan gagal dihidupkan. 2 mata ekstra diberikan. Pasukan lawan akan memulakan semula perlawanan dengan semua pemain dihidupkan kembali.
2. Super catch – Jika pasukan anda hanya bertahan dengan 3 ataupun kurang daripada 3 tetapi masih mampu menghalang raider kembali semula ke gelanggang mereka. 2 mata akan dihadiahkan!
3. Penalti – Mata yang diberikan apabila pasukan lawan melanggar peraturan, misalnya raider menyebut perkataan selain kabaddi, raider lambat menyebut kabaddi selepas melangkah masuk ke kawasan lawan, raider terkeluar daripada kawasan permainan, pertahanan masuk ke kawasan lawan sebelum raider melakukan raid. Ataupun pasukan lawan yang terkena ‘lona’ gagal kembali ke gelanggang dalam masa 10 saat. Banyak lagi kesalahan lain yang menyebabkan penalti ini.
Anda boleh saksikan penerangan secara video di sini:
https://www.youtube.com/watch?v=pcyEN-3zNvM
Kabbadi Di Malaysia
Sukan kabaddi bukanlah asing di Malaysia. Lebih-lebih lagi negara kita ada ramai masyarakat India. Perkembangan sukan ini di Malaysia dipercayai bermula di Johor pada awal 90-an.
Pasukan kabaddi Johor antara yang sentiasa digeurni di Malaysia. Perkembangan sukan ini harus dipandang lebih serius. Negara seperti Iran juga memiliki pasukan lelaki dan wanita yang kompetitif dalam sukan ini.