“Juventus Tidak Perlukan Penampar Baru Nak Main Dengan Baik”- Andrea Pirlo

Juventus sepatutnya tidak memerlukan penampar untuk bangun dari lena, walaupun atmosfera stadium di hari perlawanan sunyi.

Demikianlah menurut pengendali pasukan itu, Andrea Pirlo setelah melihat aksi longlai anak buahnya yang sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hellas Verona semalam.

Pirlo berkata beliau boleh faham bagaimana stadium yang kosong boleh menjejaskan semangat pemain. Namun demikian bekas pemain antarabangsa Itali itu percaya pemain sepatutnya mampu menyesuaikan diri dengan suasana tersebut.

“Pada babak pertama kami bermain secara ‘tunggu dan lihat’. Kami tidak agresif di bahagian tengah walaupun kami memiliki peluang yang lebih baik dalam perlawanan,” kata Pirlo yang terlebih dahulu melihat Juventus ketinggalan selepas sejam perlawanan berlangsung.

“Hanya selepas jaringan lawan barulah reaksi dari kami muncul, tetapi sepatutnya pemain tidak memerlukan sebarang bentuk tamparan untuk bangun dari lena.”

“Ia adalah perkara lain untuk beraksi di Champions League dengan kehadiran penyokong yang sekali gus akan meningkatkan tahap tumpuan,” tambah beliau lagi tatkala pasukan kendaliannya bakal berhadapan Barcelona pada Rabu.

“Perlawanan pada malam ini memiliki atmosfera yang lebih sunyi, tetapi anda memerlukan lebih banyak kesungguhan — perkara sebegini akan membantu anda untuk menang.

Menurut Pirlo lagi perlawanan seperti menentang Verona dan Atalanta sememangnya sentiasa sukar.

“Mereka akan memastikan anda terlibat dalam pertembungan satu lawan satu di serata bahagian padang,” kata Pirlo lagi.

“Kami bekerja keras untuk mengelak high press dari mereka dan ia berhasil lebih baik pada babak kedua. Ia sukar ketika menentang mereka, tetapi kami mampu beraksi lebih baik.”

Jurulatih Verona pula kecewa dengan penampilan anak buahnya pada babak akhir perlawanan.

“Kami beraksi dengan baik sekali selama sejam, dan kemudian prestasi itu merosot. Kami tidak menampilkan tenaga yang betul (untuk perlawanan),” kata jurulatih dari Croatia itu yang terlibat dengan pertengkaran dengan beberapa individu di Juventus yang berada di bangku simpanan.

“Ada beberapa kejian dan saya rasa seperti dipermalukan. Saya memberikan tindak balas,” tambah beliau.

“Semuanya berakhir di situ juga.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.