Juventus Balas Sindiran Twitter Barcelona Mengenai GOAT Sebenar

Juventus membalas sindiran Barcelona mengenai gelaran GOAT Messi di Twitter menggunakan GOAT versi mereka sendiri, Cristiano Ronaldo.

Sebelum itu Barcelona terlebih dahulu menggunakan media sosial untuk mencuit Juventus selepas menewaskan lawan mereka itu di Turin dengan jaringan 2-0.

Gergasi Catalan itu memuat naik gambar Messi yang menjaringkan gol bersama tulisan berbunyi:

“Kami gembira kerana telah menampilkan [emoji GOAT] @Juventusfcen!”

Juventus terpaksa beraksi tanpa bintang dari Portugal mereka itu brikutan keputusan positif wabak yang sedang mengganas di seluruh dunia pada ketika ini.

Walaupun telah diisolasi, keputusan terkini saringan tetap tidak berubah kepada negatif, bermakna Ronaldo hanya dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan tersebut dari rumah.

Jika anda menjangkakan Juventus hanya akan berdiam diri dengan ciapan nakal oleh Barcelona itu, maka anda silap.

“Anda mungkin merujuk ke dalam kamus yang salah.

“Kami akan bawakan [GOAT] yang sebenar-benarnya ke Camp Nou [selepas ini],” jawab Juventus di ciapan tersebut.

Perlawanan di antara Juventus dan Barcelona di peringkat kumpulan adalah antara yang dinanti-nantikan kerana bakal menemukan Ronaldo dan Messi buat kali pertama sejak Ronaldo meninggalkan Real Madrid.

Barcelona akan berhadapan dengan Juventus sekali lagi untuk perlawanan peringkat kumpulan pada 8 Disember hadapan.

Barcelona berjaya bangkit daripada kekalahan di El Clasico di kaki Real Madrid dalam kempen Eropah mereka apabila berjaya menewaskan Juventus dua gol tanpa balas.

Alvaro Morata mencetuskan sensasi dan menjadi bualan dunia bola sepak selepas tiga gol jaringan beliau telah dibatalkan dan semuanya kerana offside.

Ousmane Dembele membuka tirai jaringan pada minit ke-14 dengan satu jaringan cantik walaupun terbias pemain Juventus.

Kesemua tiga gol daripada Morata telah dibatalkan oleh Video Assistant Referee(VAR) dan tiada keraguan dengan keputusan VAR itu walaupun agak luar biasa.

Kekecewaan Juventus turut menjadi lebih parah selepas Merih Demiral pula dilayangkan kad merah pada minit ke-85 selepas mengutip dua kad kuning.

Lionel Messi melengkapkan kemenangan Barcelona dengan jaringan kedua pada minit ke-90 melalui sepakan penalti.

Barcelona layak untuk mengutip 3 mata dalam perlawanan ini kerana lebih menyerlah dan padu dalam perlawanan yang berlangsung di stadium Juventus ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.