Juventus Bakal Mendapatkan Bintang Besar Secara Percuma Tahun Hadapan

Juventus mungkin akan terus mempertahankan rekod cemerlang mereka dalam menandatangani pemain secara percuma, dengan menandatangani David Alaba dari Bayern Munich musim panas akan datang.

Gergasi dari saingan Serie A itu dilaporkan sedang dalam perbincangan serius bersama ejen kepada Alaba dan menurut laporan sama kedua-dua belah pihak sudah bersetuju dengan segala syarat yang ditetapkan.

Juventus bakal menandatangani pemain yang boleh dikatakan serba lengkap itu secara percuma pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Bintang Bayern Munich berusia 28 tahun itu mungkin akan meninggalkan kelab secara percuma pada musim panas akan datang atau mungkin lebih awal.

Menurut sumber laporan dari media Itali, Sport Mediaset, seandainya Juventus mampu untuk berunding dengan Bayern Munich, maka Alaba mungkin akan ke Turin pada jendela perpindahan Januari nanti.

Kontrak perjanjian Alaba bersama Bayern Munich akan berakhir pada penghujung musim nanti, namun sepertinya tiada perundingan kontrak baru yang ditawarkan kepadanya.

Terdapat banyak lagi kelab lain yang kini turut memantau perkembangan pemain kebangsaan Austria yang cukup berpengalaman itu.

Manchester United, Manchester City dan Paris Saint Germain antara kelab gergasi Eropah yang turut berminat untuk mendapatkan khidmat dari beliau.

Pengurus The Citizens, Pep Guardiola merupakan peminat terbesar David Alaba, beliau sendiri pernah mengurus pemain pertahanan itu semasa kariernya di Jerman.

Namun, skuad kendalian Andrea Pirlo dilihat lebih berpotensi besar untuk menandatangani David Alaba berbanding kelab lain.

Walau tidak yakin dengan masa depannya sendiri, bintang serba boleh itu telah menegaskan bahawa beliau sangat dahagakan kejayaan lebih banyak bersama Bayern.

“Kelaparan itu sentiasa ada. Saya bermain bola sepak jadi saya boleh berada di atas pada akhirnya.”

Jelas Alaba.

“Saya berasa sangat selesa berada di Munich, disini sudah menjadi seperti rumah saya sejak 12 tahun lalu.”

“Saya ada pengalaman yang cukup manis berada di sana.”

Alaba sudah beraksi bersama Bayern dalam saingan Bundesliga sejak dari tahun 2008, yang mana ketika itu beliau baru keluar dari akademi kelab.

Beliau menikmati karier cemerlang selama 12 tahun dengan menjulang pelbagai kejuaraan bersama pemenang saingan Liga Juara-juara musim lalu.

Sepanjang kariernya bersama Bayern, Alaba sudah berjaya menjulang sembilan Piala kejuaraan Liga, enam German Cup dan dua Piala Liga Juara-juara.

Juventus merupakan antara kelab yang paling banyak menandatangani pemain bintang secara percuma. Paul Pogba, Aaron Ramsey, Kingsley Coman dan Dani Alves antara yang mereka berjaya tandatangani secara percuma.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.