Justin Gatlin, Satu-Satunya Manusia Tewaskan Bolt 2 Kali, Tetapi Kenapa Tetap Dibenci?

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Biasanya apabila ada atlet luar biasa seperti Bolt tewas di tangan pesaing beliau, segala kata pujian akan dihamburkan kepada pemenang.

Gatlin menjadi satu-satunya manusia menewaskan Bolt 2 kali di lapangan final 100 meter dalam temasya major dalam kalendar IAAF.

Namun senario yang berbeza berlaku kepada Justin Gatlin. Pelari dari Amerika Syarikat yang berjuang untuk kembali semula ke trek balapan pada usia yang sudah pun 35 tahun.

35 tahun, berlari di bawah 10 saat! Tewaskan Usain Bolt! Bangkit daripada kejatuhan prestasi sejak 2014 dengan memenangi kejuaraan dunia!

Masih Gatlin disorak dengan boo hampir satu stadium London. Gatlin membalas dengan isyarat ‘diam’ kepada pembenci beliau, sambil dia memberikan penghormatan kepada rakanya Usain Bolt.

Media tidak langsung menjulang kisah luar biasa ini. Hanya Gatlin dan beberapa media Amerika Syarikat sahaja yang benar-benar meraikan kejayaan beliau kali ini yang dianggap Gatlin seperti mimpi.

Usain Bolt terus memberitahu media bahawa, Gatlin berhak mendapat penghormatan bukannya ejekan. Bolt meminta semua pihak tidak sewenang-wenangnya menghukum Gatlin yang sudah bebas daripada doping. Pengulas BBC, berkata:

“Rasanya kita telah mempersembahkan Gatlin sebagai watak hitam dalam pertandingan kali ini.”

Gatlin mengakui dia terkejut dengan ‘koir’ boo dari puluhan ribu manusia di stadium London itu. Pada 5 tahun yang lalu, peminat di situ tidak pula mengejeknya.

Gatlin Watak Antagonis Di Trek

Pembantaian Gatlin oleh media terutama sekali di England sudah berlaku sejak 2015 lagi ketika kejuaraan Dunia IAAF. Media Britain menghentam teruk atlet Amerika Syarikat itu yang dituduh licik untuk lari daripada ‘kantoi’ doping.

Sehingga ke hari ini, masih tiada pengakuan oleh Gatlin, yang menyatakan beliau sengaja mengambil barang terlarang/dadah untuk meningkatkan prestasi beliau.

Gatlin sentiasa menunjukkan rasa kecewa di hadapan televisyen dan di media cetak setiap kali dituduh menggunakan dadah. Ramai yang menunggu Gatlin menjaja kisah gempar beliau seperti Lance Armstrong.

Ini kerana pada usia 35 tahun Gatlin mungkin sudah tidak berdaya untuk belari sebagai pencabar kejuaraan. Jadi, tiba masanya untuk beliau mendapat jutaan dollar daripada buku dan temu ramah yang menyatakan beliau sebenarnya memang mengambil dadah.

Tidak! Gatlin masih tidak pernah mengaku bersalah dan beberapa kali dikurangkan hukuman oleh WADA selepas rayuan.

Kes pertama Gatlin berlaku ketika beliau didapati menggunakan barang terlarang pada usia 19 tahun. Ketika itu Gatlin masih lagi pelajar kolej. Namun sudah mencipta nama di beberapa kejohanan besar di Amerika.

Gatlin dibebaskan selepas rayuan beliau diterima. Ini kerana Gatlin berjaya meyakinkan pendakwa raya bahawa ‘amaun kecil’ dadah dalam badannya kerana ubatan Adderall yang diambil Gatlin sejak 14 tahun.

Gatlin terpaksa mengambil ubatan tersebut untuk melawan ADD yang beliau hidapi sejak berusia 9 tahun lagi.

Dalam siasatan awal, kesatuan olahraga amatur (AAA) telah mengenakan penggantungan 2 tahun kepada Gatlin berdasarkan standard IAAF.

Namun, apa yang mengejutkan, hanya selepas 2 bulan menjalani penggantungan, Gatlin telah dibebaskan kerana beliau dikatakan berjaya memberikan penjelasan yang meyakinkan kepada World Anti-Doping Agency (WADA).

Ramai peminat olahraga mulai sangsi dengan tindakan WADA tersebut. WADA menyatakan ada masalah dokumentasi ketika ujian doping dilakukan ke atas Gatlin.

Dalam erti kata lain, Gatlin adalah mangsa kepada kelemahan pihak AAA dalam dokumentasi ketika ujian doping ke atas Gatlin.

Kes Berprofil Tinggi

Pada tahun 2006, ketika di Relay Kansas, Gatlin telah dikesan positif “testosteron. Dadah yang diharamkan sama sekali secara mandatori oleh WADA. Namun Gatlin menentang keputusan itu dan beliau menyatakan:

“Sebelum saya tiba di Kansas, saya telah menjalani 35 ujian saringan dadah. Saya tidak dapat menerima keputusan ini. Keputusan ujian ini tidak tepat dan telah dipesongkan.”

Namun pihak makmal mengesahkan yang dadah itu masih ada di dalam badan Gatlin. Tidak lama kemudian, Gatlin membuat kenyataan media yang mengejutkan. Gatlin menuduh dia disabotaj oleh jurulatih beliau sendiri.

“Saya difahamkan ada testosteron di dalam badan saya. Saya tidak pernah dengan sengaja memasukkan ia ke dalam badan saya. Saya rasa, ianya kesa daripada ubat krim yang digosok oleh jurulatih terapi saya, Christopher Whetstine.”

Foto – Daily Mail

Gatlin mengumumkan yang Whetstine telah dipecat serta merta daripada kem beliau. Gatlin tidak mahu bersekongkol dengan mana-mana individu yang bermain kotor.

Whestine tercabar dengan kenyataan Gatlin dan mahu membersihkan namanya. Whetstine menang kes tersebut kerana Gatlin tidak ada bukti kukuh mendakwa beliau.

Gatlin digantung 8 tahun namun telah dikurangkan oleh WADA kepada separuh. Ini bermakna Gatlin dibebaskan pada Mei 2010. Keputusan itu dibuat pada 2007. Pada 2008, Gatlin merayu untuk dikurangkan lagi, namun rayuan ditolak.

Gatlin mulai digelar sebagai Encik Reputasi (Mr. Reputation) oleh media antarabangsa. Ada sahaja perkara berkaitan dengan dadah mengiringi kisah beliau setiap kali menyertai perlumbaan.

Media pro-Gatlin mulai memainkan sentimen bahawa Gatlin adalah mangsa keadaan. Mike Morgan dalam artikel beliau telah mempertahankan Gatlin.

“2 kali Gatlin dituduh menipu menggunakan dadah, namun dengan jelas panel khas tidak cukup bukti untuk menuduh Gatlin sengaja menipu.”

“Gatlin tidak pernah senagaja menipu untuk meningkatkan prestasi beliau, dan ia lebih kerana faktor sejarah perubatan beliau.”

“Penjelasan Gatlin 2006 mengenai sabotaj krim testosteron menampakkan yang beliau tidak bersalah. Apalagi berdasarkan pengetahuan saya, banyak kes sabotaj ini berlaku di dalam dunia sukan profesional.”

Untuk pengetahuan semua, Morgan adalah salah seorang panel yang terlibat dalam menyiasat kes doping Gatlin pada 2006.

Itulah antara beberapa kontroversi yang melibatkan Gatlin yang sudah 2 kali berjaya membersihkan dirinya daripada pertuduhan dadah.

Gatlin Masih Gagal Memenangi Hati ‘dunia’

Lalu di London 2017, dalam acara kejohanan dunia, Gatlin menewaskan Bolt dengan catatan masa 9.92 saat, iaitu 0.02 saat sahaja di hadapan Coleman dan 0.03 saat di hadapan Bolt.

Ayahnya sedih dengan layanan di Stadium Olimpik London dan berkata:

“Dia seorang yang kuat untuk berhadapan perkara seperti itu. Orang yang boo-kan Gatlin kena baca balik laporan WADA. Gatlin tidak pernah melukan jenayah sukan.”

Presiden IAAF, Lord Coe membidas World Anti-Doping Agency (WADA) kerana membenarkan Gatlin bertanding walaupun sudah 2 kali digantung kerana masalah dadah. Coe berkata:

“Saya tidak boleh menerima dalam fikiran saya apabila seseorang yang sudah 2 kali digantung, berjaya membawa pulang salah satu hadiah terbesar di dalam sukan dunia.”

“Penggantungan kedua itu berdurasi 8 tahun. Walaupun pada pandangan saya, dia patut digantung seumur hidup.”


SHARE ()