Jurulatih Asing Hairan Penyokong Bola Sepak Tempatan Lebih-Lebih ‘Sembah’ Liverpool

Pengaruh Liga Perdana Inggeris di negara ini sememangnya tidak boleh kita nafikan. Petik saja nama Liverpool misalnya, sudah pasti di mana sahaja akan ada penyokong fanatik mereka yang akan tampil.

Dan dewasa ini penyokong Liverpool boleh ditemui di mana sahaja. Baik di kota raya mahu pun di pekan kecil. Di Chow Kit Road atau pun Padang Besar di utara sekali pun.

Kebanjiran penyokong kelab-kelab Liga Perdana Inggeris di negara ini bukan lagi perkara luar biasa, khususnya selepas Liverpool menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun pada musim lalu.

Fenonema sebegini bagaimanapun membuatkan jurulatih asing yang bertapak di Malaysia hairan. Mengapakah perlu beria-ia memberikan sokongan kepada Liverpool jika anda menetap di Selayang, Kuala Lumpur misalnya?

Perkara itu diluahkan sendiri oleh Ketua Jurulatih Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) Luis Pablo Pozzuto dalam satu temubual bersama Bernama baru-baru ini.

“Di Argentina, masih ramai juga menonton perlawanan Premier League. Tetapi jika ada pasukan divisyen dua (dari Argentina) bermain pada masa yang sama, mereka akan menonton perlawanan divisyen dua itu,” kata beliu.

“Anda tinggal di KL, tapi kenapa anda lebih sukakan (kelab) Liverpool? Media juga perlu mempromosikan aksi bola sepak tempatan dan menggalakkan masyarakat menonton perlawanan di stadium,” katanya lagi.

Bagi Luis sikap penyokong bola sepak di dalam negara yang terlebih-lebih ibarat memuja pasukan dari luar adalah salah satu punca mengapa industri bola sepak di dalam negara juga terbantut.

Contohnya mengapa ramai penyokong bola sepak tempatan yang mempersoalkan banyak pasukan-pasukan gagal untuk menjelaskan gaji pemain sedangkan mereka sendiri tidak memberikan sokongan yang sepatutnya kepada kelab tempatan?

Dengan hadir menonton perlawanan di stadium atau membeli jersi yang dapat membantu kewangan pasukan sedikit sebanyak juga boleh disalurkan untuk pelan pembangunan pemain pelapis.

“Mungkin kejayaan tidak akan dikecapi dalam sekelip mata, tetapi jika kita berjaya menghasilkan seorang pemain berkualiti, dia boleh dijual kepada pasukan luar, kemudian gunakan wang itu untuk pembangunan. Jika anda tidak melabur, sistem ini tidak akan berjalan,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berkata sikap penyokong bola sepak di negara ini yang terlalu mudah menyalahkan badan induk seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam semua perkara juga tidak membantu kerana untuk memajukan bola sepak seharusnya menjadi tanggungjawab bersama termasuk penyokong.

Mungkin ada juga di kalangan kita yang melabel diri tahu segala-galanya mengenai bola sepak Inggeris, tetapi tidak mengenali siapakah Luis Pablo Pozzuto.

Luis adalah antara bekas pemain profesional yang pernah berguru dengan legenda bola sepak dunia, Diego Maradona ketika masih bergelar pemain bersama Deportivo Mandiyu pada 1994.

Luis kemudiannya pernah beraksi untuk Kelantan pada 1997 sehingga 1998, dan juga Penang dai 2001 sehingga 2003. Selepas memperolehi lesen kejurulatihannya, Luis pernah bergelar pengendali kepada beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk Public Bank dan Melaka.

18 tahun menetap di Malaysia, jurulatih berusia 53 tahun itu boleh disifatkan sebagai amat masak dengan senario bola sepak di Malaysia.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.