Jupiler Pro League: Luqman Hakim Dalam Skuad KV Kortrijk Hadapi Anderlecht

Apa yang dinanti-natikan akhirnya tiba buat penyerang muda sensasi negara apabila namanya menjadi salah seorang daripada 19 pemain KV Kortrijk yang akan berhadapan Anderlecht dalam aksi saingan Jupiler Pro League pada hujung minggu ini.

Perlawanan tersebut akan berlangsung pada jam 2:45 pagi esok, dan KV Kortrijk yang kini berada di kedudukan ke-8 liga pasti mahu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mendapatkan tiga mata bertemu Anderlecht.

Perlawanan dijangka akan berlangsung dengan sengit kerana Anderlecht yang hanya merekodkan tiga kemenangan dari sembilan perlawanan pada musim ini kini berkongsi mata dengan KV Kortrijk, namun dipisahkan oleh perbezaan gol untuk berada di kedudukan ke-9 liga.

Dalam perlawanan menentang Anderlecht nanti, Luqman Hakim berkemungkinan tidak akan diturunkan dari permulaan, dengan pemain lebih berpengalaman seperti Ilombe Mboyo pasti menjadi pilihan utama pengurus pasukan Johan Wallem.

Apatah lagi pasukan seperti Anderlecht yang dikendalikan oleh bekas pemain pertahanan Manchester City, Vincent Kompany turut memburu kemenangan untuk menghilangkan tekanan permulaan yang kurang baik pada musim ini.

Selepas memulakan perlawanan dengan dua kemenangan, skuad kendalian Kompany tidak merekodkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan seterusnya.

Perlawanan menentang Anderlecht ini adalah penampilan kali pertama Luqman Hakim di dalam skuad utama KV Kortrijk sejak menyertai kelab Belgium pada Ogos lalu.

Sebelum ini Luqman telah diberikan peluang untuk tampil dalam skuad B-21 tahun dan beberapa perlawanan persahabatan skuad utama KV Kortrijk, dan telah menjaringkan beberapa gol.

Aksi meyakinkan Luqman akhirnya membuahkan hasil dan kini namanya berada di dalam skuad utama untuk perlawanan kompetitf pertamanya di Jupiler Pro League.

Ia adalah perkembangan yang amat positif buat Luqman, dan sekiranya mendapat peluang beraksi nanti, ia pasti turut akan menambahkan keyakinan pemain ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.