JDT menang Piala Sumbangsih dalam pertarungan yang dikuasai oleh mereka di Stadium Larkin semalam. Ianya seakan membalas dendam kekalahan pada musim lalu dalam Piala Sumbangsih 2017.
Namun begitu, Kedah terlebih dahulu mendahului menerusi Pablo Pallares. Ianya selepas menerima umpan kemas daripada Sandro Mendonca.
Namun JDT memberikan respon dengan menjaringkan 2 gol untuk bangkit lalu menjuarai kejuaraan Piala Sumbangsih 2018. JDT mempunyai beberapa peluang lagi untuk menambah gol tetapi dinafikan oleh pertahanan Kedah terutama sekali Ifwat Akmal.
JDT menjadi pasukan yang memenangi Sumbangsih sebanyak 3 kali dalam tempoh 4 tahun terakhir. Sejak dijenamakan semula pada 2013, JDT dengan pantas memenangi 3 kejuaraan Sumbangsih dalam kabinet mereka.
Skuad JDT kali ini nampak lebih menggerunkan lawan dengan kualiti pemain import dan pemain tempatan yang mereka milik. Pemain import baharu mereka, Corbin Ong antara yang paling mencuri perhatian.
Beliau menjadi nadi utama JDT di sebelah kiri membantu Diaz. Beliau memiliki hantaran ke dalam persis Jali Rambli satu ketika dahulu.
Di bahagian serangan gandingan Cabrera dan Diaz yang berada di belakang Luciano memang sangat sukar dikawal. Kedah berhempas pulas untuk mempertahankan gawang mereka daripada ancaman gol yang lebih banyak.
Harus diakui Ifwat Akmal masih antara penjaga gol terbaik di negara kita. Marcos Antonio antara nama yang mengejutkan semua. Selepas kecederaan serius musim lalu, ramai menjangkakan beliau akan berehat lebih lama.
Namun pemain itu sudah pun sah kembali ke pasukan utama JDT membuatkan Bruno ditolak ke JDT II.
Rumusan yang jelas, kejayaan JDT menjulang Piala Sumbangsih 2018 sekaligus memenangi 3 mata pertama dalam usaha mempertahankan Liga Super adalah amaran yang lebih gah daripada Harimau Selatan.
Musim 2018 pastinya penting untuk JDT. Jika mereka berjaya menjuarai Liga Super musim ini, mereka akan mendapat slot automatik ke Asian Champions League pada musim hadapan. Namun JDT sedar persaingan musim ini pastinya lebih sengit dihadirkan oleh pasukan-pasukan lain.
Pasukan Kedah terpaksa berpuas hati dengan Naib Juara Piala Sumbangsih selepas bermain 2 Piala Sumbangsih berturut-turut.
Ramon Marcote yang masih baru menggalas jawatan penuh di Alor Star pastinya sedang mengkaji semua perkara untuk memperbaiki pasukan ini selepas ini.
Persoalannya kini, mampukah pasukan lain menghalang JDT daripada menjuarai kejuaraan Liga Super ke-5 berturut-turut musim ini? Kejayaan menjulang trofi Sumbangsih ini pastinya motivasi yang terbaik untuk mereka pada awal musim ini.
Apa pandangan anda?
Kredit Foto – Johor Southern Tigers