Juan Mata: Permulaan Sebenar Kami Ahad Ini Menentang Liverpool

Juan Mata menggesa rakan-rakannya untuk bermain dengan lebih dinamik ketika berhadapan dengan Liverpool.

Beliau juga turut menyuarakan keyakinannya bahawa Manchester United akan berjaya mendapat 3 mata di Old Trafford dalam aksi pada Ahad ini, sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah dan rekod kemenangan 100% Liverpool musim ini.

Manchester United mahu mengubah apa yang sedang menimpa mereka kini, di mana hanya mengutip 9 mata daripada 8 perlawanan. Man United hanya menang 2 perlawanan setakat ini di dalam liga.

Juan Mata merasakan, aksi menentang Liverpool adalah hari terbaik untuk para pemain menunjukkan semangat mereka berhadapan dengan musuh utama mereka itu.

Menurut Juan Mata lagi, minggu rehat antarabangsa telah memberikan para pemain masa terbaik untuk bangkit dan kembali fokus. Ini kerana rehat tersebut selepas mereka tewas di tangan Newcastle.

Para pemain kini sudah tidak sabar untuk berhadapan dengan skuad bimbingan Jurgen Klopp.

“Pada Ahad ini, kita ada peluang terbaik untuk mengubah dinamik pada permainan kita. Dan kami semua sangat bermotivasi untuk menang perlawanan ini,” nukilan Juan Mata dalam blog peribadi beliau.

“Kita adalah United, kita bermain di halaman sendiri dan kita akan memberikan segalanya yang kita ada agar kita dapat menang. Kerana itulah yang penyokong kita berhak untuk dapat.”

Juan Mata kekal optimis meskipun tanpa David De Gea dan Paul Pogba di dalam pasukan mereka kali ini.

Mereka juga masih kehilangan Aaron Wan-Bissaka, Eric Bailly, Luke Shaw dan Phil Jones – juga kerana kecederaan.

“Berita kurang enak adalah David tidak dapat menamatkan perlawanan ketika beraksi bersama Sepanyol, selepas melakukan beberapa aksi menyelamat luar biasa.”

“Saya harap tiada kecederaan serius berlaku kepada beliau agar beliau kembali bersama kita secepat mungkin.”

Selain daripada Man United, Juan Mata juga harus memperbaiki aksi peribadi beliau yang masih belum efektif.

Manchester United vs Liverpool sentiasa menjadi perlawanan tumpuan di seluruh dunia. Pertembungan terakhir mereka sebelum ini menyaksikan United dan Liverpool terikat.

Adakah United akan mampu untuk memberikan Liverpool kekalahan pertama musim ini? Keyakinan Juan Mata pastinya membuatkan para penyokong United kian bersemangat.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.