Johor Southern Tigers (JST) merupakan facebook rasmi untuk pasukan JDT. Mereka mendapat tahu ada beberapa media sosial yang telah menyindir pasukan JDT berkaitan dengan prestasi Hazwan Bakri.
JST dalam status mereka semalam telah menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pentadbir-pentadbir laman media sosial yang bersikap tidak adil dan berniat buruk untuk mencemarkan imej JDT.
Mereka seolah-olah menuduh JDT sebagai perosak kepada karier Hazwan Bakri dan menyebabkan pemain itu tidak mampu bermain di peringkat tertinggi.
JST menyatakan: “Terdapat beberapa akaun media sosial yang mengeluarkan sindiran bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim adalah penyebab Ahmad Hazwan Bakri tidak mampu lagi meneruskan kerjayanya dalam peringkat tertinggi. Ini adalah pandangan yang tidak adil terhadap JDT dan berniat buruk untuk mencemarkan imej kelab.”
Hazwan Bakri sebenarnya antara pemain handalan yang bermain dalam pasukan JDT. Beliau merupakan pemain yang kerap dipanggil ke dalam pasukan kebangsaaan.
JDT kecewa dituduh telah membuatkan karier Hazwan terbantut. Lalu JST mengeluarkan angka statistik untuk membuktikan bahawa pemain itu antara pemain yang cemerlang.
“Hazwan memiliki rekod 4,297 minit sepanjang tiga musim di JDT dengan kemunculan penampilan seperti berikut: 2017: 31 penampilan, 7 jaringan gol, 5 ‘assists’; 2018: 38 penampilan, 4 jaringan gol, 6 ‘assist’; 2019: 8 penampilan, 1 ‘assist’. Secara keseluruhan, Hazwan telah membuat penampilan dalam 78 perlawanan untuk JDT.”
Bukan itu sahaja, malah Hazwan Bakri telah menjadi nadi penting membantu JDT memenangi 7 trofi. Yang terbaru adalah membantu feeder club, JDTII memenangi Piala Cabaran.
Hazwan juga bermain di kejohanan berprestij seperti ACL.
“Hazwan telah memenangi tujuh trofi – 3 kejuaraan Liga Super Malaysia, 1 Piala Malaysia, 2 Piala Sumbangsih dan 1 Challenge Cup – dan mendapat pendedahan berharga di pentas Asia kerana beliau telah bermain dalam 12 perlawanan Piala AFC dan 4 perlawanan peringkat kelayakan dan kumpulan Liga Juara-Juara AFC.”
JDT mengingatkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut bahawa, Hazwan Bakri mungkin juga seorang jutawan ketika ini hasil karier beliau bersama JDT.
JDT pasukan yang sangat mementingkan kebajikan pemain dan tiada isu dengan gaji sangkut.
“Akhir sekali, Hazwan mungkin juga seorang jutawan yang tidak perlu bimbang tentang gaji yang tidak dibayar seperti di beberapa kelab Malaysia lain kerana kebajikan pemain JDT diletakkan sebagai keutamaan.”