Jose Mourinho Kekal Menjadi Satu-satunya Pengurus Yang Mampu Menewaskan Pep Dalam Aksi Perlawanan Akhir

Skuad kendalian Pep Guardiola berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dalam aksi perlawanan akhir Carabao Cup kemarin.

Kemenangan tersebut merupakan yang ke-14 dari 15 perlawanan akhir sepanjang karier Pep Guardiola sebagai seorang pengurus pasukan.

14 dari 15 bermaksud Pep hanya pernah kalah satu kali sahaja dari kesemua perlawanan akhir yang beliau sertai.

Siapakah satu-satunya pengurus yang mampu mencalarkan rekod bersih Pep Guardiola dalam aksi perlawanan akhir itu?

Ya, Jose Mourinho, pengurus Tottenham Hotspur yang telah dipecat seminggu sebelum aksi perlawanan akhir Carabao Cup bertemu Man City.

Satu-satunya kekalahan Pep Guardiola dalam aksi perlawanan akhir adalah pada 10 tahun yang lalu, yang mana beliau pada ketika itu masih mengurus Barcelona di Sepanyol.

Kekalahan tersebut berlaku dalam aksi perlawanan akhir Copa del Rey yang menemukan Barca bertemu Real Madrid yang ketika itu dikendalikan oleh Jose Mourinho.

Kedua-dua pasukan gergasi Sepanyol itu bertemu dalam aksi perlawanan akhir Copa del Rey pada tahun 2011 yang mana aksi 90 minit permainan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Walau perlawanan tersebut disertai oleh barisan pemain handalan seperti Lionel Messi, David Villa, Cristiano Ronaldo, Angel Di Maria, Andres Iniesta, Xabi Alonso dan Pedro, namun kesemua mereka gagal untuk menjaringkan sebarang gol sepanjang aks kedua-dua babak permainan.

Walau bagaimanapun, ketika perlawanan masuk ke masa tambahan, bola hantaran lintang cantik dari Di Maria berjaya disempurnakan dengan satu tandukan peluru berpandu dari Ronaldo untuk mengesahkan kemenangan 1-0 Real menewaskan Barca.

Skuad kendalian Pep Guardiola ketika itu berjaya membelasah Real Madrid 5-0 dalam pertemuan aksi saingan La Liga pada awal musim tersebut.

Secara tak langsung, kejayaan Mourinho menewaskan Barca dalam aksi perlawanan akhir tersebut sebagai membalas dendam selepas skuadnya dimalukan dalam aksi saingan La Liga.

Barca ketika itu juga berjaya menjuarai saingan La Liga dan turut cemerlang menjulang kejuaraan liga Juara-Juara pada musim yang sama.

Pada musim terakhir Pep di Sepanyol, Real Madrid berjaya merampas semula kejuaraan La Liga dari Barcelona sebelum Guardiola meninggalkan Nou Camp.

Sudah tentu, peminat Tottenham Hotspur pasti menganggap Mourinho pada tahun 2021 bukan lagi sama seperti dirinya pada tahun 2011 dan belum tentu beliau mampu mengulangi kejayaan yang sama.

Namun apa yang pasti, tidak ada sesiapa boleh menyangkal fakta bahawa ‘The Special One’ terus kekal menjadi satu-satunya pengurus yang berjaya menewaskan Pep Guardiola dalam aksi perlawanan akhir.

Rekod Guardiola dalam perlawanan akhir selain bertemu Real Madrid pada tahun 2011, beliau telah berjaya memenangi dua kejuaraan liga Juara-juara bersama Barca, dua Copa del Rey, dua DFB Pokals bersama Bayern Munich.

Satu FA Cup dan empat League Cup bersama Manchester City beserta tiga kali kejuaraan FIFA Club World Cup (dua bersama Barca dan satu bersama Bayern.)

Rekod tersebut tidak termasuk kejayaannya memenangi Piala seperti Community Shield atau UEFA Super Cup.

Rekod beliau sungguh luar biasa menakjubkan sehingga Gary Neville, pemain yang menghabiskan kariernya di bawah kendalian Sir Alex Ferguson turut menganggap Pep Guardiola sebagai pengurus terhebat sepanjang zaman.

Dan satu-satunya pengurus yang pernah menewaskan beliau hanyalah Mourinho, pengurus yang telah dipecat oleh Tottenham Hotspur seminggu sebelum perlawanan akhir League Cup.

Namun begitu, tidak dinafikan City tetap mempunyai kelebihan tersendiri ketika bertemu Spurs kemarin walau Mourinho masih mengurus pasukan dari London itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.