Jordan Pickford Upah Pengawal Keselamatan Peribadi Selepas Terima Ancaman Bunuh

Jordan Pickford dan isterinya kini dilindungi oleh pengawal keselamatan setelah pasangan tersebut menerima ancaman bunuh baru-baru ini.

Ini termasuklah dengan meletakkan pengawal keselamatan di kediaman mereka setelah keadaan menjadi tidak selamat berikutan perlawanan derbi Merseyside pada 17 Oktober lalu, di mana Pickford terlibat dengan insiden menyebabkan kecederaan pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk.

Menurut sumber kepada Sportmail: “Jordan terkejut dengan tahap ancaman yang diterimanya sejak perlawanan tersebut berlangsung.

“Beliau kini nekad untuk melakukan apa sahaja demi memastikan keluarganya sentiasa berada di dalam keadaan selamat.”

Untuk berbuat demikian, penjaga gol antarabangsa England itu dilaporkan telah mengupah sebuah firma keselamatan elit untuk menjaga keselamatan keluarganya.

Pada minggu lalu, beberapa anggota keselamatan dilihat mengawal persekitaran kediaman penjaga gol itu yang bernilai £2.5 juta di Cheshire.

Pickford mendiami rumah itu bersama-sama dengan isterinya, dan seorang anak lelaki berusia 1 tahun.

Beliau dan keluarganya turut dinasihatkan untuk menjauhkan diri dari media sosial buat masa ini untuk mengelakkan mereka yang ingin melakukan sesuatu tahu di mana kedudukan mereka.

Pihak polis Merseyside pada minggu lalu berkata mereka sedang menyiasat beberapa ciapan ditujukan khusus kepada Pickford dan rakan sepasukan, Richarlison – yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut kerana kekasaran ke atas Thiago.

Dalam perkembangan berlainan, bek kiri Everton, Lucas Digne telah dikurangkan hukuman gantung tiga perlawanan kepada satu perlawanan selepas rayuan dilakukan.

Digne dilayangkan kad merah selepas kekasaran ke atas Kyle Walker-Peters ketika Everton tewas 2-0 kepada Southampton pada hujung minggu lalu.

Carlo Ancelotti mendakwa kad merah kepada Digne sebenarnya didorong oleh kejadian melibatkan Pickford dan Richarlison dalam perlawanan menentang Liverpool.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.