28 tahun lalu, pada tahun 1989, seorang pemuda Jordan membuat keputusan untuk berpindah ke Malaysia. Pemuda itu, Mahmoud Omar banyak cerita menarik tentang Malaysia dari bapa saudaranya yang terlebih dahulu berpindah ke sini semenjak tahun 70 an.
Beliau mengembara hampir separuh dunia untuk menyambung pelajaran di UIA sebelum mengahwini wanita Malaysia dan memulakan keluarga di sini.
Membesarkan tiga orang anak lelaki dan seorang anak perempuan di bandaraya Kuala Lumpur bukan satu cabaran yang mudah. Berbekalkan segulung ijazah dari UIA, Mahmoud memulakan perniagaan untuk menyara keluarganya. Ketika kelahiran anak keduanya, Mohammed Mahmoud, beliau menyedari yang anaknya itu memiliki ciri-ciri budaya bangsa cina.

Beliau berfikir mungkin suatu hari nanti Mohammed akan membantunya di dalam perniagaan sesuai dengan tipikal bangsa cina yang pandai berniaga. Beliau kemudian menghantar Mohammed ke tadika cina sebagai permulaan.
Bagaimanapun, ketika bersekolah rendah, Mohammed tidak menunjukkan minat di dalam akademik. Beliau sering terlibat dengan pergaduhan ketika membesar. Pelbagai cara digunakan Mahmoud untuk mendisiplinkan anaknya itu.
Mahmoud masih ingat ketika Mohammed dimarahinya, beliau langsung tidak takut dan mengalirkan airmata, berbeza dengan kanak-kanak lain ketika itu. Tetapi berbeza pula apabila beliau melangkah ke sekolah menenengah, bekas gurunya, Cikgu Shah Rafi, mengatakan beliau adalah seorang yang baik dan menghormati guru-gurunya.
Cuma ada sedikit kenakalan yang dianggap biasa untuk seorang remaja. Cikgu Shah Rafi yang juga merupakan jurulatih bola sepak sekolah mengambil Mohammed ke dalam pasukan kerana beliau juga berbakat di dalam sukan itu, tetapi beliau sering memarahi Mohammed kerana lembik dan mudah jatuh ketika bermain.
Dengan fizikalnya yang kurus beliau seringkali menjadi mangsa pasukan lawan ketika itu menyebabkan gurunya terkejut kerana Mohammed pada hari ini adalah seorang fighter Muay Thai.
Gurunya itu tidak menyangka pelajar yang dahulu dilihat baik dan tidak pernah mengasari sesiapa kini menjadi jaguh di dalam gelanggang. Pelajarannya di sekolah dalam kategori okay, beliau lulus semua mata pelajaran yang diambil.
Mohammed dianugerahkan dengan rupa yang menarik, dengan itu beliau hanya perlu menjaga senaman untuk mengekal dan mendapatkan bentuk badan yang lebih menarik. Beliau selalu bersenam sendirian dengan melakukan pull up dan sit up di rumah.
“Ayah, boleh saya masuk gym?”
Soalan itu mendorong Mahmoud membawa anaknya ke Sampuri Muay Thai Gym yang Cuma terletak beberapa blok sahaja dari kediaman mereka di Bandar Baru Ampang.

Mahmoud menyedari Mohammed hanya bermain bola sepak dan futsal di sekolah, membuatkan beliau sedikit terkejut ketika melihat orang-orang di gym yang kelihatan ganas menendang punching bag dan sparring.
“Awak betul nak buat ni?”
Tanya Mahmoud sekali lagi sebelum Mohammed menjawab ya dengan penuh bersemangat. Mohammed beranggapan Muay Thai akan membantunya untuk kekal fit dan cergas.
Pada disember 2014 bermulalah perjalanan Mohammed dalam dunia Muay Thai. Ia umpama mencurah api ke dalam minyak, Mohammed sangat cepat belajar. Beliau begitu berdedikasi dan sangat berdisiplin dalam latihannya.
Walaupun ketika Sampuri Gym berpindah ke Ampang, beliau merayu abangnya, Nidal untuk menghantarnya berlatih menaiki motosikal. Apa yang disangka pada mulanya sekadar untuk mengekalkan kecergasan, kemudian menjadi obsesi Mohammed untuk terus berlatih dan memantapkan lagi skill-nya di dalam Muay Thai.
Emiey Sampuri adalah jurulatih pertama Mohammed. Selepas melatihnya selama lima bulan, Emiey berasa Mohammed sudah cukup bersedia untuk bertarung. Beliau kemudian membawa Mohammed untuk pertarungan pertamanya dalam kejohanan Naga Api di Gombak.
Bapanya, Mahmoud kelihatan begitu resah di tepi gelanggang sambil sesekali dilihat mengambil gambar dengan wajah yang sugul. Beliau begitu bimbang dengan keselamatan anaknya. Bagaimanapun, Mohammed Cuma mengambil masa selama dua minit untuk menamatkan pertarungan itu dengan tendangan TKO ke kepala.
Tangan Mahmoud menggigil, beliau berasa sangat teruja menyaksikan kemenangan anaknya itu. Selepas melihat kemenangan yang diraih anak didiknya, Emiey merasakan Mohammed mampu untuk pergi jauh dalam bidang ini lalu terus melatih dan mencungkil bakat yang dimiliki Mohammed. Abangnya, Eman membantu dalam mengembangkan lagi kebolehan Mohammed.
Mohammed akhirnya menjadi professional apabila menyertai kejohanan D1 Fighting Championship di Sabah pada June 2015. Rekod beliau sebelum menyertai kejohanan itu ialah 7-0. Tetapi segalanya serba tak menjadi buatnya disana apabila beliau tewas kepada peninju Sabah, Shah The Black Machine.
Menurut Nidal, sebelum pertarungan itu Mohammed telah ‘cut-weight’ sehingga tiga kilogram, lalu semasa pertarungan beliau telah dehidrasi kerana kepenatan. Kekalahan itu membuatkannya mengkaji tentang ketahanan tubuhnya. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi mentalnya dan berazam untuk kembali lebih kuat lagi.
Keazamannya terbukti apabila beliau berjaya menjadi juara dalam kejohanan MUAYFIGHT, sebuah kejohanan besar yang menghimpunkan peninju Nak Muay terbaik seluruh Malaysia. Kejohanan itu dianjurkan menggunakan format liga dimana beliau berjaya mengalahkan 13 orang peninju lain sebelum bertemu dengan Rayan Abdul dari Sabah di perlawanan akhir.
Perlawanan akhir itu disiarkan secara langsung oleh RTM TV1. Kemenangan beliau bukan sahaja diraikan oleh keluarganya di Malaysia, tetapi keluarga sebelah bapanya di Jordan juga turut berasa bangga dengan Mohammed.
Pada Januari 2016, Mohammed bersama bapa dan abangnya, Nidal telah menghadiri kejohanan MMA di Pesta Selangor untuk menggantikan peserta yang menarik diri pada saat akhir. Mohammed mengambil keputusan untuk melangkah masuk.
Bapanya bimbang kerana Mohammed tiada pengalaman di dalam MMA. Bagaimanapun Mohammed kemudian berjaya mengalahkan lawannya dalam masa 90 saat pada pusingan pertama. Itu merupakan kemenangan pertama beliau di dalam MMA, tetapi jiwanya masih kepada Muay Thai.
Kemenangan itu memberikan beliau satu kepuasan atas tindakannya yang gemar menyahut cabaran tanpa berfikir dua kali.
Pada April 2016 beliau kembali ke Sabah untuk menyertai kejohanan STAND yang dianjurkan oleh Karabaw Gym. Beliau kembali untuk memadam memori pahit kekalahannya di situ dalam kejohanan D1 Fighting Championship sebelum ini.
Kejohanan itu dianjurkan di tepi pantai resort Nexus Krambunai yang cantik, tetapi beliau menyedari yang kehadirannya di situ bukanlah untuk bercuti. Beliau sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Beliau berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir untuk bertemu dengan Uriel French dari MuayFit. Perlawanan akhir itu berlangsung sengit dengan kedua-dua mereka dilihat sangat agresif melancarkan serangan.
Bagaimanapun pada pusingan ketiga Mohammed berjaya menyerang Uriel dengan tiga kombo tumbukan tepat yang menyebabkan Uriel kalah. Mohammed akhirnya dinobatkan sebagai juara kejohanan itu. Kemenangan itu berjaya memadam kekalahannya di dalam D1FC.
“Kejohanan STAND diuruskan dengan sangat baik, saya berharap untuk dapat menyertainya lagi. Diharap juga lain kali mereka dapat lakukannya di tempat yang lebih besar seperti stadium supaya orang ramai boleh datang dan melihat saya beraksi.”
Rekod Mohammed sekarang ialah 55-5 dengan total lebih dari 45 kali KO dan TKO. Mohammed mendedikasikan hidupnya untuk pertarungan. Beliau memerlukan banyak sumber dan dana untuk kekal aktif dalam mengekalkan kariernya.
Keperluan penaja sangat penting memandangkan menjadi fighter pro di Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh membuatkan anda kaya. Bapanya, Mahmoud sendiri mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk menyokong karier Mohammed.
Ia termasuklah membiayai kemudahan dan cetakan t-shirt, supplement, dan rawatan.
Mahmoud tidak pernah terlepas menyaksikan pertarungan anaknya. Ketika Mohammed mula bertarung, Mahmoud menukar kariernya menjadi seorang kontraktor. Beliau juga membantu dalam menguruskan restoran Al Andalus, sebuah restoran makanan Arab yang sebelum ini pernah memakai perkhidmatannya.
Ini memberikan beliau waktu yang fleksibel untuk bersama-sama anaknya bertarung kemana sahaja. Perkara ini yang menyebabkan Mohammed menggunakan nama gelanggang ‘Jordan Boy’ sebagai menghargai pengorbanan bapanya dalam membantu dan menyokong karier beliau.
Kini Mohammed juga memiliki abangnya, Nidal, yang sentiasa berada di sudutnya. Mengenang kembali sewaktu Nidal menghantar Mohammed ke latihan dahulu, beliau sendiri mempelajari Muay Thai dan menjadi peninju kemudiannya.

Mahmoud dan Nidal merupakan tulang belakang kepada kekuatan Mohammed. Mahmoud akan menguruskan karier pertarungan anaknya manakala Nidal sentiasa membantu Mohammed di dalam latihan.
Motivasi dari ibu, adik perempuan dan abangnya membuatkan beliau bersemangat untuk meneruskan perjuangan. Malahan adik bongsunya, Putera Abdullah kini telah memasuki kelas Muay Thai dan berazam untuk menjadi sehebat abangnya suatu hari nanti.
Selain dari rutin harian dan pertarungan, kehidupan Mohammed berlegar di sisi keluarganya sahaja. Beliau lebih selesa duduk di rumah menonton TV atau mendengar lagu One Direction dari I Tunes. Makanan kegemarannya ialah nasi lemak dan teh tarik.
Pemuda yang pemurah dengan senyuman ini berkata,
“Saya adalah seorang yang mudah dan peramah di luar, tetapi di dalam gelanggang saya berbeza. Saya akan focus dengan pertarungan dan lawan saya. Saya mempunyai ramai kawan-kawan di sekeliling saya. Senyuman adalah kunci menarik perhatian.”
Mengenai gaya pertarungannya,
“Saya memiliki gaya tersendiri dalam bertarung, orang datang bukan semata untuk melihat pertarungan, mereka ingin melihat peninju, gaya mereka masuk ke gelanggang, tarian Wai Kru mereka, dan kostum yang dipakai.
Ini kerana sesetengah pertarungan boleh tamat dalam beberapa saat. Saya gemar untuk tersenyum dan gembira di dalam pertarungan. Tetapi apabila saya dah mula, orang takkan mampu ramal pergerakan dan teknik saya.”
Ketika ini Mohammed sedang giat berlatih sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Sea yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi. Beliau telah dipilih untuk membawa cabaran negara, saya menyeru anda semua dapat menghadirkan diri dan memberi sokongan kepada permata baru negara ini.
Kembara untuk melakar namanya sebagai fighter sudah pun bermula. Beliau kini dikenali sebagai peninju wonderkid Malaysia. Sekarang adalah masa terbaik untuk beliau mencipta nama seterusnya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.