Pernah tak anda memasukkan telefon pintar anda yang sudah rosak ke dalam kotak kitar semula, dan kemudian, tertanya-tanya, ke manakah telefon pintar itu akan dihantar.
Jika anda pernah melakukannya di negara matahari terbit, Jepun, telefon pintar anda mungkin menjadi salah satu penyumbang kepada Olimpik 2020. Ini selepas Jepun selaku hos kejohanan telah menggunakan lebih 6.2 juta telefon pintar untuk diproses bagi membentuk pingat emas, perak dan gangsa sukan Olimpik 2020.
Sukan Olimpik 2020 itu telah membuat sekitar 5,000 pingat kejohanan untuk dimenangi para atlet dari seluruh dunia. Pihak penganjur telah mengesahkan bahawa mereka menggunakan 100% bahan terpakai – terdiri daripada telefon pintar yang dikitar semula.
Telefon pintar merupakan gadget yang sudah menjadi sangat popular di kalangan manusia. Ianya lebih daripada sekadar kehendak, malah telah menjadi satu keperluan yang penting.
Namun begitu, harus diakui, penggunaan telefon pintar telah meningkat dengan sangat mendadak kerana adanya ‘trend’ membeli telefon baharu, apabila adanya keluaran terkini. Lambakan produk telefon pintar ini bermakna semakin banyak telefon lama yang tidak digunakan dan terpaksa dibuang.
Selain daripada telefon pintar, beberapa peralatan lain turut menyumbang kepada pembuatan pingat Olimpik 2020, iaitu kamera, laptop yang dipercayai telah menjadikan kesemua bahan-bahan tersebut terkumpul hapir 80,000 tan.
Pihak penganjur Olimpik 2020 berjaya menemui kajian yang menyatakan bahan-bahan daripada peralatan elektronik tersebut apabila diekstrak, akan mampu menghasilkan, 30.3 kilogram emas, 3,500 kilogram perak dan 2,700 kilogram gangsa.

Jawatankuasan yang bertanggungjawab berpuas hati dengan sasaran yang mereka capai. Ini kerana untuk pingat emas mereka berjaya mencapai 93.7% kejayaan dan untuk perak di paras 85.4%. Sebaliknya untuk gangsa pula mereka berjaya mencapai sasaran 100%.
Behind the #Tokyo 2020 #Olympic Medalhttps://t.co/PQGXdN4IKB pic.twitter.com/eIX4WoVlBs
— My SET หุ้น stock (@MySETstock) July 28, 2019
Bila ia dimulakan?
Sumbangan daripada orang ramai kepada jawatankuasan penganjuran bermula pada April 2017. Sumbangan tertinggi dilaporkan daripada NTT Docomo Shop, yang merupakan antara kedai elektronik paling popular di Jepun. Jawatankuasan Olimpik Jepun berbangga dengan usaha mereka kerana ianya mampu membantu untuk menyelamatkan alam sekitar.
Ia juga mendapat pujian daripada ramai pihak yang berharap usaha seumpama ini akan diteruskan di masa-masa akan mendatang.
Bukan yang pertama
Ini bukanlah kali pertama pingat olimpik diperbuat daripada kitar semula bahan elektronik.
Pada 2010, Sukan Olimpik musim sejuk dan Paralimpik ketika itu menggunakan kaedah yang sama hasil daripada kitar semula tv dan komputer. Cuma Jepun kali ini melakukannya pada skala lebih besar dan di pentas lebih tinggi. Ia akan memberikan lebih kesedaran kepada semua.
Tahniah kepada Jepun di atas usaha murni ini. Semoga langkah seperti ini terus membuka mata semua pihak untuk memberikan semula nilai kepada telefon pintar dan peralatan elektronik yang lain yang sudah tidak digunakan lagi.