Red Bull Menembusi Jualan Minuman Melalui Sukan

Red Bull – satu jenama minuman yang tersangat popular di seluruh dunia walaupun tinggi kandungan gulanya telah menembusi pasaran jualan minuman tenaga melalui sukan.

Red Bull daripada awal 90-an telah mula bergiat aktif dalam sukan sama ada permotoran, bola sepak, hoki dan juga sukan ekstrem.

Siapa di belakang Red Bull?

Sejarah

Asalnya Red Bull berasal dari Thailand dengan nama lamanya Krating Daeng, dihasilkan oleh syarikat TC Pharmaceutical, bermaksud lembu merah dengan kata lain Red Bull, diasaskan oleh Chaleo Yoovidhya.

Pada tahun 1982, seorang lelaki dari Austria, Dietrich Mateschitz telah berkunjung ke Thailand untuk bertemu Chaleo untuk mengeratkan usahasama syarikat majikannya, Blendax dengan TC Pharmaceutical.

Usai tiba di Thailand, Mateschitz telah minum air Krating Daeng dan mendapati minuman ini telah mebantu mengurangkan masalah jet lag yang dialaminya dan dari situ, Mateschitz telah melihat potensi pasaran bagi minuman ini di eropah.

blank

Bersama Chaleo, Mateschitz telah menubuhkan Red Bull GmbH, singkatan kepada Gesellschaft mit beschränkter Haftung yang mana di Malaysia bermaksud syarikat sendirian berhad dan kedua-dua mereka melaburkan sebanyak USD 500,000 ke syarikat baru ini dengan pegangan saham masing-masing mendapat 49%, dan baki lagi 2% diberikan kepada anak Chaleo, Chalerm.

Antara tahun 1984 dan 1987, Red Bull telah mengubah formulasi minuman ini mengikut selera eropah. Pada 1987, Red Bull GmbH mula menggunakan Red Bull sebagai jenama rasmi minuman mereka.

Jenama ini berkembang di eropah pada awal 1990-an dan mula memasuki pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1997.

Bagaimana Red Bull boleh terlibat dalam bidang sukan?

Pada awalnya, Red Bull telah memulakan satu kempen pemasaran viral dengan mengedarkan minuman percuma kepada pelajar-pelajar kolej dan hasilnya, minuman ini mendapat tempat di hati mereka.

Dengan menggunakan moto “Red Bull Gives You Wings” dan “No Red Bull, No Wings”, jualan syarikat ini terus meningkat naik.

Sejak kempen pemasaran viral itu, Red Bull mula menaja sukan-sukan ekstrem seperti terjunan jurang (cliff diving), basikal BMX, luncur ski, terbang individu, mountain bike, papan seluncur dan sepaktakraw. Dalam bidang permotoran pula, Red Bull telah mula menaja pasukan seperti berikut :

  1. 888 Race Team – Australia V8 Supercars
  2. ABT Audi – Deutsche Tourenwagen Masters
  3. KAMAZ Masters – Rali Dakar
  4. VW Race Touareg – Rali Dakar
  5. KTM Factory Motocross Team – Rali Dakar
  6. Skoda dan Citroen – Kejohanan Rali Dunia

Banyak lagi pasukan yang ditaja atau ditubuhkan Red Bull dalam bidang permotoran ini.

Formula 1

Pada tahun 1995, Red Bull mula melibatkan diri dalam bidang Formula 1 dengan menaja pasukan Sauber dengan tempoh kontrak sehingga 2004. Pada tahun 2004, pasukan Jaguar melalui pemiliknya Ford Motor telah dilelong dan Red Bull dengan hati terbuka membeli pasukan ini dan menukar nama kepada Red Bull Racing. Dengan pembelian ini, maka kontrak penajaan bersama Sauber tidak lagi diperbaharui.

Pada musim 2005, pasukan Red Bull Racing menggunakan enjin Cosworth dengan pemandu British, David Coulthard dan Christian Klien yang berasal dari Austria menjadi pemandu utama dan mereka menduduki tangga keenam kategori pasukan.

Red Bull Racing

Pada tahun 2005 juga, Red Bull telah membeli pasukan Minardi (Pasukan Alex Yoong ketika dahulu) dan menukar nama pasukan kepada Scuderia Torro Rosso yang bermaksud Pasukan Lembu Merah.

Pada tahun 2010, segala usaha Red Bull membuahkan hasil apabila pasukan Red Bull Racing dinobatkan juara F1 dengan Sebastian Vettel muncul juara keseluruhan. Lebih manis lagi, Red Bull Racing terus mendominasi F1 dengan kejuaraan pada 2011, 2012 dan 2013 – kesemuanya dimenangi Vettel sebelum Mercedes AMG Petronas mengambil alih.

Bola sepak

Red Bull juga aktif dalam sukan nombor satu dunia ini dengan pemilikan kelab-kelab di Amerika Syarikat, Jerman, Austria dan Brazil.

Kelab pertama yang dibeli Red Bull ialah SV Austria Salzburg pada 2005 dan dijenamakan semula kepada RB Salzburg. RB Salzburg bermain di liga Austria.

Kelab ini telah muncul juara liga sebanyak tujuh kali, di samping empat kali naib juara sejak 2005, dan setiap tahun bermain di peringkat eropah sama ada Liga Europa atau UEFA Champions League.

Pada tahun 2006, Red Bull turut membeli pasukan bola sepak Amerika Syarikat, New York Metrostars dan ditukar namanya kepada New York Red Bull dan sejak tahun tersebut, New York Red Bull telah muncul naib juara Piala MLS pada 2008, memenangi Perisai Penyokong pada 2013 dan 2015, dan yang paling penting telah muncul juara Konferens Timur pada tahun 2010, 2013, 2015 dan 2016.

Pada 2007 pula Red Bull menubuhkan Red Bull Brazil yang bermain di divisyen satu liga negeri Sao Paulo.
Pada tahun 2009 pula, Red Bull telah membeli pasukan divisyen lima di Jerman dan menjenamakan semula pasukan ini kepada RB Leipzig.

Jika diikutkan ada banyak lagi sumbangan Red Bull dalam bidang sukan. Syarikat konglomerat ini bukan sekadar menjana pendapatan dari jenama, malah menaikkan reputasi sukan dan pasukan tertentu di beberapa negara.

Nilai & Keuntungan

Red Bull merupakan jenama yang sangat mendapat tempat. Red Bull menduduki tangga ke #70 dunia bagi jenama paling popular di bumi.

Sebanyak 6.06 billion tin telah dijual dengan peningkatan 2% dan menembusi 171 negara bagi tahun 2016.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.