JDT terus memacu ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang lagi. TMJ dalam sesi temubual baru-baru ini menggariskan bahawa JDT merupakan kelab yang tidak bergantung kepada dana kerajaan.
Jadi, JDT menguatkan aspek komersial dan publisiti. Para penaja yang ramai membuatkan jenama JDT lebih kukuh dan mendapat aliran wang masuk daripadanya.
Selain itu TMJ turut menganggap tahun 2019 sebagai tahun paling berjaya dalam JDT dengan kesemua peringkat berjaya mendapatkan 8 piala musim ini.
Dari sudut komersial, JDT melebarkan lagi sayapnya. Kali ini mereka mengumumkan kerjasama dengan New Era, jenama antarabangsa.
JDT menganggap ini merupakan satu lagi kejayaan di luar padang dalam usaha mempromosi jenama JDT ke peringkat global.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi terus mengorak langkah kehadapan apabila berjaya bekerjasama dengan salah satu jenama antarabangsa, New Era.”
:”Jenama yang berpangkalan di New York ini telah mengeluarkan satu barangan rasmi JDT iaitu ‘Snapback Cap’ untuk para penyokong JDT dan ia boleh didapati di cawangan mereka di Mid Valley Southkey, Johor Bahru.”
“Kolaborasi jenama JDT dan New Era ini pastinya menandakan satu lagi kejayaan kelab di luar padang yang berjaya mempromosikan jenama JDT diperingkat antarabangsa. Luaskan Kuasamu Johor.”

JDT menamatkan saingan musim ini dengan kejayaan Liga Super dan Piala Malaysia, serta Piala Sumbangsih.
JDT juga menjadi kelab Malaysia pertama bermain di pentas AFC Champions League. Mereka akan beraksi di pentas tertinggi itun sekali lagi pada musim hadapan.
JDT bakal beraksi di stadium baharu pada musim 2020. Ia juga menandakan satu lagi perkara besar dalam lipatan sejarah pasukan yang dikenali dengan nama Harimau Selatan itu.
JDT turut memperkuatkan lagi feeder club mereka dengan melantik jurulatih dari Sepanyol. Ianya baru sahaja diumumkan oleh JDT dalam kenyataan media mereka pada hari ini.
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menandatangani bekas Pengarah Akademi & Pencari Bakat Malaga CF, Rafael Gil Sanchez sebagai ketua jurulatih JDT II yang baharu.
Beliau telah memikul pelbagai tugas di Sepanyol seperti ketua jurulatih Akademi Malaga dan Bawah-23. Beliau juga telah berkhidmat sebagai pencari bakat RCD Espanyol di England dan penolong jurulatih untuk skuad kebangsaan Arab Saudi.
Antara tugas utama Rafael adalah membantu perkembangan pemain muda dalam pasukan dan bermain gaya yang sama dengan skuad senior, sekali gus membolehkan kelancaran peralihan ke skuad senior. JDT II akan menyaksikan kemasukan lebih ramai pemain muda pada tahun 2020 berikutan keputusan kelab untuk melepaskan beberapa pemain dan mempromosikan pemain dari Akademi.
– Alistair Edwards, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim