JDT Juara Piala Malaysia Pertama Kali Dalam Sejarah!

Skuad JDT akhirnya menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah kelab mereka. Kelab yang dahulunya dikenali dengan Johor FC ini tidak pernah menjulang piala berprestij ini.

JDT pernah hampir menjulangnya pada 2014 tetapi dihampakan oleh pasukan Pahang. Namun kali ini skuad Harimau Selatan itu tidak mahu hampa untuk kali kedua.

JDT di hadapan seawal minit ke-2 menerusi tandukan Aidil Zafuan selepas menerima sepakan penjuru menarik Safiq Rahim.

Kedah bergelut dengan prestasi mereka untuk mencari gol penyamaan. Ada beberapa insiden kekasaran berlaku dan juga emosi di antara pemain kedua-dua pasukan.

Kedah cuba memperbaiki aksi mereka pada awal babak separuh masa kedua. Namun tidak lama selepas itu, JDT menambah gol menerusi Gonzalo Cabrerra. Kedah gagal membalas gol tersebut.

JDT dinobatkan juara Piala Malaysia 2017 yang dilangsungkan di Stadium Shah Alam. Kejuaraan ini juga merupakan trofi kedua untuk JDT musim ini selepas berjaya membawa pulang Liga Super 2017 sebelum ini.

Kali terakhir Piala Malaysia diarak di bumi Johor adalah pada tahun 1991 yang dijuarai oleh pasukan Johor FA yang kini dikenali sebagai JDTII.

Tahniah kepada pasukan JDT!

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.