Jaringan Ke-200 Harry Kane Bantu Spurs Tewaskan Ludogorets Razgrad

Harry Kane baru sahaja menjaringkan gol ke-200 peribadinya untuk Tottenham Hotspur ketika dalam aksi pertemuan bertemu Ludogorets Razgrad dalam saingan Europa League awal pagi tadi.

Harry Kane cemerlang menjaringkan satu gol dan mencatatkan satu assists dalam kemenangan 3-1 Tottenham Hotspur menewaskan Ludogorets Razgrad.

Perlawanan pada awal pagi tadi juga merupakan perlawanan ke-300 beliau bersama Tottenham Hotspur dan sepanjang tempoh tersebut, Kane telah menjaringkan 200 gol dan mencatatkan 39 assists.

Harry Kane juga merupakan pemain kedua yang berjaya untuk mencapai angka 200 jaringan tercepat bersama sebuah pasukan dalam saingan premier league dibelakang Sergio Aguero.

Penyerang handalan Manchester City itu telah berjaya menjaringkan 200 gol untuk the Citizens dari hanya 293 penampilannya bersama kelab.

Harry Kane juga telah berjaya mencapai rekod dua angka dalam catatan jaringan dan bantuan jaringannya bersama Tottenham Hotspur hanya dari 13 penampilannya dalam semua pertandingan pada musim ini.

Dari 13 penampilan beliau untuk Tottenham Hotspur sepanjang musim ini, Kane telah berjaya menjaringkan 12 gol dan mencatatkan 10 assists.

“Saya tidak rasa kamu perlu mengira semuanya sehingga satu hari nanti ketika saya sudah bersara.”

“Bagi saya, ianya hanya tentang perlawanan seterusnya, jaringan seterusnya.”

Jelas Kane selepas berjaya mencipta jaringan ke-200 beliau bersama Tottenham Hotspur dan mahu terus memburu gol di masa mendatang.

Jose Mourinho turut memberikan pujian kepada Harry Kane selepas berjaya mencipta rekod luar biasa itu dan beliau turut menyatakan bahawa hanya waktu sahaja yang bakal menentukan bila Kane akan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk kelab.

“Nombor tersebut akan membuat dia menjadi seorang legenda di kelab ini.”

Mourinho turut memberi pandangan tentang aksi yang dipamerkan oleh Lo Celso dengan menyatakan:

“Bagus ketika dengan bola dan tidak bagus ketika tidak bersama bola. Tahap fizikal beliau masih belum dalam keadaan terbaik. Persiapan beliau juga sering naik turun. Dia sedang meningkat naik sekarang secara berperingkat. Saya rasa ketika dia bermain, dia seolah bukan Gio yang kita tahu.”

Harry Kane membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 permainan menerusi satu tandukan padu hasil sepakan penjuru dari Lucas Moura.

Pada minit ke-32 permainan pula, Kane telah mencatatkan satu assists yang cukup cantik dan sempurna untuk Lucas Moura menjaringkan gol kedua Tottenham dalam perlawanan ini.

Claudiu Keseru berjaya merapatkan jurang jaringan apabila menjaringkan gol untuk Ludogorets Razgrad pada minit ke-50 menjadikan kedudukan 2-1.

Giovani Lo Celso melengkapkan kemenangan 3-1 Spurs menewaskan Ludogorets Razgrad selepas menjaringkan gol pada minit ke-62 permainan hasil umpanan dari Son Heung Min.

Spurs kini berada dikedudukan teratas dalam kumpulan J saingan Europa League musim ini dengan mengumpul enam mata dari tiga perlawanan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.