Jan Oblak Diaibkan Oleh Penjaga Gol Lawan

Eibar mengejutkan pendahulu saingan La Liga, Atletico Madrid selepas memperoleh gol awal dalam pertemuan pada awal pagi tadi hasil jaringan dari penjaga gol mereka, Marko Dmitrovic.

Penjaga gol Eibar, Marko Dmitrovic mengejutkan Atletico selepas menjaringkan gol berdepan penjaga gol terhebat dunia, Jan Oblak.

Atletico Madrid berkunjung ke Municipal de Ipurua bertemu dengan Eibar untuk aksi dalam saingan La Liga.

Skuad kendalian Diego Simeone itu telah dikejutkan dengan jaringan awal oleh Eibar pada minit ke-12 permainan menerusi sepakan penalti.

Eibar telah dihadiahkan sepakan penalti ketika itu dan penjaga gol mereka, Dmitrovic tampil untuk berdepan dengan penjaga gol nombor satu dunia Jan Oblak.

Beliau dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk Eibar mendahului permainan 1-0.

Kedua-dua Dmitrovic dan Oblak dilihat tersenyum sesama sendiri ketika penjaga gol Eibar itu mahu mengambil sepakan penalti.

Pemain kebangsaan Serbia yang kini berusia 28 tahun itu tenang mengelirukan Oblak untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Peminat di media sosial turut kebingungan memikirkan mengapa Eibar menggunakan penjaga gol untuk mengambil sepakan penalti tersebut.

Bahkan ramai yang beranggapan bahawa mungkin Dmitrovic antara pakar bola mati yang ada dalam kesebelasan utama Eibar itu.

Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang untuk para peminat mengagumi Dmitrovic sebagai penjaga gol yang berjaya menewaskan Jan Oblak dari sudut sepakan penalti.

“Boleh kah sesiapa jelaskan pada saya kenapa dia yang mengambil sepakan penalti itu dan bukannya pemain padang?”

“Penjaga gol Eibar > Oblak, Neuer, Alisson, Ederson, Ter Stegen, De Gea, Buffon, Lev Yashin.”

“Mereka mungkin cuma mahu membuktikan bahawa penjaga gol juga mampu untuk menewaskan Jan Oblak.”

“Marko Dmitrovic selalu berubah menjadi Gigi Buffon setiap kali bertemu Atletico. Bagus juga sesekali tengok dia berubah jadi Cristiano Ronaldo pula sekarang.”

Begitulah antara komen-komen para peminat melihat penjaga gol Eibar mengambil sepakan penalti dan menewaskan penjaga gol lawan yang boleh dianggap sebagai pemain terbaik dunia.

Bekas penyerang Barcelona, Luis Suarez berjaya menyumbat dua gol dalam perlawanan ini untuk memastikan kemenangan milik Atletico Madrid seterusnya kekal gayat di puncak saingan La Liga.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.