“Isu Gaji Bukan Punca Sumareh Pergi, Tetapi Mahu Bermain Dengan Pasukan Lain”- PBNP

Isu tunggakan gaji bukan sebab utama mengapa pemain naturalisasi negara, Mohomadou Sumareh meninggalkan skuad Tok Gajah secara tiba-tiba.

Namun tindakan pemain sayap skuad Harimau Malaya itu lebih didorong oleh keinginannya beraksi bersama pasukan lain, yang juga bermakna Sumareh sudah tiada hati lagi bersama pasukan Pahang pada musim ini.

Seorang jurucakap atau sumber daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) melalui laporan Berita Harian berkata:

“Dalam isu ini tidak timbul Pahang tidak langsung membayar gaji setiap bulan biarpun bayaran gaji itu tidak diterima sepenuhnya.

“Tapi semua tahu penularan wabak COVID -19 memberi kesan terhadap pengurusan pasukan yang menyebabkan berlaku sedikit kelewatan atau tunggakan.

“Namun, Pahang tetap membayar gaji setiap bulan biarpun bukannya bayaran penuh,” katanya.

Sumber yang sama berkata Sumareh sepatutnya mencontohi pemain lain dari pasukan lain yang tetap kekal bersama pasukan ketika pasukan masing-masing behadapan masalah kewangan ekoran penularan wabak global.

“Kita tidak dengar mereka yang berdepan masalah tunggakan gaji membuat keputusan meninggalkan pasukan kerana kesetiaan kepada pasukan.

“Sedangkan Sumareh tidak menerima gaji penuh kesan daripada penularan COVID-19 yang sudah pasti dia memahami situasi berlaku.

“Sebagai pemain profesional dan sudah lama bersama Pahang, Sumareh tidak sepatutnya bertindak sedemikian,” tambahnya lagi.

Sebelum ini Sumareh dikatakan menghilang secara misteri sehingga mendorong Ketua Jurulatih, Dollah Salleh untuk berjumpa pengurusan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk menuntut penjelasan status pemain itu.

Kemudian khabar angin mulai tersebar mengatakan Sumareh berhadapan maslah tunggakan gaji bersama Pahang, dan kononnya terdapat klausa di dalam kontrak yang membenarkan pemain itu pergi mencari kelab lain tanpa perlu memberikan notis.

Dan semalam pemain kelahiran Gambia itu secara tiba-tiba dikhabarkan telah bersetuju untuk menyertai Polis Tero FC di saingan Liga Thai.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.