Isteri Sergio Romero Bidas Sikap Tidak Bertimbang Rasa Man Utd

Isteri Sergio Romero secara terbuka telah membidas Manchester United melalui Instagram selepas kelab tersebut berkeras enggan melepaskan penjaga gol dari Argentina itu pada jendela perpindahan musim panas ini.

Romero kini menjadi penjaga gol pilihan ketiga di Old Trafford selepas ketibaan Dean Henderson yang dilihat sebagai pencabar utama David de Gea untuk jersi No.1 Man Utd.

Everton dikatakan antara kelab yang menunjukkan minat mendalam untuk khidmat Romero sebelum ini, dan kini Eliana Guercio secara terbuka tidak teragak-agak membela nasib suaminya itu di media sosial.

Eliana berpendapat Man Utd tidak menunjukkan rasa hormat yang sepatutnya kepada suaminya, sambil mengingatkan bahawa Romero adalah penjaga gol terakhir yang berada di hadapan gawang kali terakhir Man Utd meraih trofi.

Disebabkan itu, Eliana berpendapat ianya adil dan sampai sudah masanya untuk Man Utd membenarkan suaminya pergi.

“Sergio Romero bekerja sangat keras untuk kelab ini,” tulis Eliana.

“Trofi terakhir yang mereka menangi, mereka julang bersama dia. Dia membantu pasukan untuk mara ke empat perlawanan akhir/separuh akhir dan kemudian diletakkan di bangku pemain simpanan untuk kalah semuanya.

“Kini tiba masanya untuk mereka mengembalikan peluang itu kepada dia. Hormatlah dia sekurang-kurangnya sekali!!!”

Nampaknya Romero tidak akan mendapat apa yang dihajatinya pada hari terakhir perpindahan. Manchester United dilaporkan enggan melepaskan pemain itu dengan nilai kurang dari £10 juta.

Romero adalah anggota skuad Argentina yang mara ke perlawanan akhir Piala Dunia pada 2014 dan menjadi penjaga gol kedua di belakang De Gea pada 2015.

Sejak daripada itu, Romero telah menjuarai Piala FA, Piala EFL, Perisai Komuniti dan Europa League bersama kelab tersebut.

Sepanjang tempoh itu Romero telah membuktikan dirinya sebagai pemain sokongan yang boleh disandarkan oleh United setiap kali khidmatnya diperlukan.

Sehingga kini, Romero telah tampil dalam 61 perlawanan untuk Man United. Romero bagaimana pun bukan penjaga gol pilihan Ole Gunnar Solksjaer dalam tiga separuh akhir – menyebabkan isterinya tidak senang hati.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.