Inter Optimis Mahu Dapatkan Lionel Messi

Lionel Messi kini berada di dalam radar Inter Milan. Pemain terbaik dunia FIFA dan Ballon d’Or 2019 itu dilaporkan masih belum melanjutkan kontrak di Nou Camp.

Inter Milan sudah memulakan usaha untuk membawa masuk bintang Argentina itu selepas 14 tahun pemain tersebut bermain di Barcelona.

Kehadiran Messi ke Serie A dijangka akan dapat membantu menaikkan semula prestij liga tersebut selepas kejayaan Juventus mendapatkan Cristiano Ronaldo.

Bekas Presiden Inter Milan, Massimo Moratti juga menyokong usaha pasukan Inter untuk membawa Messi pada jendela perpindahan yang akan datang.

Messi ada klausa pelepasan £132 juta pada jendela perpindahan yang akan datang. Messi sudah berusia 32 tahun, namun beliau masih mempunyai kudrat yang luar biasa untuk bersaing dengan pemain terbaik di dunia.

Beliau menjaribgkan 627 gol daripada 718 penampilan untuk Barcelona. Membantu pasukan itu memenangi 10 La Liga dan 4 UCL di dalam kariernya.

Beberapa bulan lalu Messi bertikam lidah dengan Pengarah Sukan Barcelona yang juga bekas rakan sepasukan beliau, Eric Abidal.

Ini selepas Abidal menuduh beberapa pemain menjadi punca Ernesto Valverde dipecat. Pemain pemain tersebut tidak mahu bermain dan mahu mogok.

Kenyataan itu membuatkan Messi berang dan mencabar Abidal memberikan nama beberapa pemain yang beliau maksudkan.

Pertengkaran itu memaksa Bartomeu masuk campur untuk meredakan keadaan.

Beberapa minggu lalu, Messi sekali lagi mengkritik pengurusan Barcelona yang mahu memotong 70% gaji bagi membantu membayar gaji staf bukan pemain ketika krisis koronavirus.

Messi tak berpuas hati kerana angka itu terlalu tinggi. Pihak pemain meminta 30% pemotongan seperti di EPL. Malah Luis Suarez juga kecewa apabila ada laporan menyatakan pemain Barcelona menentang idea pemotongan gaji.

Mereka bukan menentang tetapi mereka mahu angka potongan itu tidak melampau. Akhirnya para pemain dan kelab mencapai kesepakatan untuk pemotongan 50% gaji.

Messi masih belum melanjutkan kontrak beliau selepas beberapa isu yang beliau kurang senangi. Isu lain adalah pengurusan Barcelona yang dilihat terlalu kerap merombak pasukan.

Barcelona sedang berusaha untuk memastikan Messi tidak pergi ke Inter Milan. Mereka masih berbincang dengan Messi dan yakin pemain itu akan kekal di Nou Camp.

Pengerusi La Liga, Javier Tebas pula menegaskan, Serie A tidak akan mendapat apa apa keuntungan dengan membawa Messi.

Tebas tidak rasa Messi akan menyelesaikan isu publisiti Serie A yang menurut beliau sudah calar kerana terlalu banyak masalah kewangan.

Tebas juga memperlekehkan pemergian Ronaldo sebelum ini tidak memberikan kesan langsung kepada La Liga. Malah selepas Ronaldo pergi, La Liga mendapat pendapatan lebih tinggi.

Ianya di luar jangkaan beliau sendiri. Tebas berkata, La Liga akan sentiasa lebih menarik daripada Serie A. Dan Messi pasti akan kekal di Barcelona untuk terus bermain di liga terbaik di dunia.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.