Inspirasi J Mac, Pelajar Autisme Yang Menggegarkan Dunia Satu Ketika Dahulu

Jason McElwain ataupun J Mac adalah pelajar autisme yang pernah menggegarkan dunia. Ini apabila satu video amateur perlawanan telah tersebar menunjukkan aksi beliau dalam gelanggang bola keranjang.

Seperti kanak-kanak autisme yang lain, J Mac sentiasa berhadapan dengan kesukaran untuk menyertai sebarang aktiviti di sekolah mereka. Apatah lagi mahu menyertai pasukan bola keranjang sekolah tinggi mereka.

Jason McElwain lahir pada 1 Oktober 1987 dan dikesan menghidapi autisme ketika berusia 2 tahun. J Mac sukar untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain sebaya dengannya.

Ibu dah ayahnya memasukkan J Mac ke pelbagai program untuk membantu J Mac bersosial dan juga melakukan beberapa kerja dengan sendiri. J Mac diletakkan di dalam kelas pelajar khas. Dia sangat sukakan bola keranjang.

Abangnya adalah orang yang telah memperkenalkan sukan itu kepadanya. Pada suatu hari, J Mac telah diterima masuk ke dalam pasukan bola keranjang Sekolah Tinggi Greece Athena.

Namun dia tidak pernah diturunkan dalam mana-mana perlawanan. Sehinggalah pada 15 Februari 2006 apabila sekolah Greece Athena dijadualkan berhadapan dengan Sekolah Tinggi Spencerport.

Ianya adalah perlawanan penutupan untuk musim tersebut. J Mac telah diberikan jersi oleh jurulatihnya.

Coach Johnson berbuat demikian untuk membolehkan J Mac merasai pengalaman mengenakan jersi pasukan sekolah beliau dan duduk di bangku simpanan.

Ini selepas J Mac menjadi orang yang paling rajin datang ke sesi latihan dan membantu pelajar-pelajar lain seperti menyediakan air minuman, menyediakan tuala dan lain-lain lagi kerja ketika hari perlawanan.

4 minit terbaik dalam hidup J Mac

Selepas pasukan beliau mendahului agak selesa, coach Jim Johnson memutuskan untuk memberikan J Mac peluang untuk bermain dalam 4 minit terakhir.

J Mac telah masuk ke dalam gelanggang. Dan rakan-rakan beliau memberikan tepukan gemuruh kepada beliau. J Mac mendapat hantaran pertama daripada rakannya dan dia telah mencuba untuk cubaan 3 mata tetapi gagal.

J Mac mendapat peluang sekali lagi dan dia memutuskan untuk mencuba cubaan 3 mata sekali lagi. Juga gagal. Jurulatih beliau hanya berdoa mahukan J Mac menjaringkan sekurang-kurangnya sekali untuk pelajar itu kenang dalam seumur hidup beliau.

Tetapi arahan itu tetap tidak dipedulikan oleh J Mac. Dan ketika dia menerima bola untuk kali ke-3, dia akhirnya berjaya melakukan percubaan tepat 3 mata.

Satu dewan meraikan pelajar istimewa itu. Siapa sangka pelajar autisme itu mampu melakukan percubaan tepat 3 mata. J Mac terus menggila dengan kejayaan mendapatkan 3 mata dalam percubaan ke-4 beliau.

Sepanjang 4 minit terakhir di dalam gelanggang J Mac melakukan 6 percubaan 3 mata yang tepat dan 1 percubaan 2 mata. 20 mata dijaringkan beliau dalam masa 4 minit.

Setiap jaringan beliau diraikan dengan sorakan kuat oleh rakan-rakan sepasukan di bangku simpanan dan penyokong di dalam dewan.

Sebaik sahaja buzzer penamat dibunyikan, rakan-rakan beliau dan penonton di dalam dewan telah berlari menyerbu J Mac meraikan kejayaan insan istimewa itu.

Ketika ESPN menemuramah pihak sekolah, dikatakan juruvideo bernama Luciano, seorang pelajar dan rakan J Mac telah diarahkan jurulatih untuk merakam video yang menunjukkan taktik pasukan sahaja.

Tetapi Luciano telah ‘mengingkari’ arahan itu dan fokus kepada rakannya Jason McElwain serta penyokong yang bersorak.

Coach Johnson pada awalnya agak berang apabila mendapat tahu Luciano tak merakamkan sudut yang terbaik untuk taktikal.

Tetapi selepas itu coach Johnson membiarkan ia sahaja kerana dia tahu, Luciano sedang menikmati detik rakannya dimasukkan di dalam gelanggang. Coach Johnson kemudian menganggap langkah Luciano kali itu adalah luar biasa.

J Mac memberitahu ketika itu dia panas membara dan seperti pistol. Berita tentang kehebatan J Mac menjadi sensasi di USA selepas video itu dimuat naik di youtube. Presiden George W. Bush telah datang menemui beliau 3 minggu selepas itu.

https://www.youtube.com/watch?v=zFX56-ZAKLw

J Mac telah diberikan banyak penghargaan dan kisahnya dijadikan inspirasi oleh ramai ibu bapa yang memiliki anak-anak autisme.

J Mac kini menjadi penolong jurulatih pasukan bola keranjang Greece Athena. Beliau juga aktif menyertai sukan marathon.

Cerita kehebatan beliau dibukukan dalam naskah berjudul The Game of My Life: A True Story of Challenge, Triumph, and Growing Up Autistic.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.