Pelumba sensasi Repsol Honda, Marc Marquez, mengaku lebih selesa menunggang motosikal RC213V 2019 berbanding dengan jentera beliau gunakan sebelum ini.
Marquez mendedahkan RC213V merupakan motor yang sangat sukar dikendalikan. Ia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengannya. Namun, selepas berjaya serasi, motosikal itu ternyata memberikan beliau daya pecutan yang sangat luar biasa berbanding dengan motosikal beliau gunakan pada 2018.
Ini kerana RC213V memiliki kuasa yang lebih besar. Walaubagaimanapun, Marquez senada dengan Jorge Jorge Lorenzo (Repsol Honda) dan Cal Crutchlow (LCR Honda), menyatakan bahawa Honda perlu memperbaiki aspek di selekoh untuk motosikal tersebut.
Lorenzo dan Crutchlow, pernah mengkritik perkara itu secara terbuka. Namun ajaibnya, Marc Marquez menamatkan musim ini dengan sangat cemerlang. Dianggap pencapaian terbaik beliau pada musim ini.
Malah, musuh utama beliau, Valentino Rossi turut memuji pencapaian Marquez pada musim ini yang disifatkan Rossi sebagai musim hampir sempurna.
“Dalam beberapa aspek, jentera 2018 memang lebih mudah, namun dalam beberapa perbandingan, saya menamatkan perlumbaan dengan catatan lebih lambat sekitar 0.3 atau 0.2 saat.”
“Namun anda harus faham, bahawa pelumba mahukan motosikal yang mudah dikendalikan dan pada masa yang sama sangat laju.”
“Untuk saya pula, saya tak kisah motosikal itu sukar dikendalikan, yang penting ianya cepat mendapat kelajuan maksima.”
“Saya sentiasa mempertahankan pasukan kejuruteraan Honda. Namun saya harus akui, pada sisi lain, saya meminta agar mereka memperbaiki aspek ‘traction’ yang lebih kemas. Dan itu yang diminta kesemua penunggang Honda.”
Marquez kemudian memberikan bayangan bahawa beliau akan terus kekal bersama Honda. Walaupun mengeluarkan kritikan ke atas jentera tersebut.
Honda dilaporkan dalam proses perbincangan dengan Marquez untuk lanjutan kontrak mega yang baharu. Mereka mahu menjadikan Marquez pelumba menerima bayaran paling tinggi bayaran di dalam sejarah..
“Walaubagaimanapun, jentera Honda sudah bersama saya sekian lama. Sejak 2013 lagi. Dan buat masa ini, perkara itu tak akan berubah.”