Ini Punca Sebenar Penjaga Gol Pasukan Bola Sepak Sosial Dikeronyok

Hari ini bola sepak sosial digemparkan dengan insiden pergaduhan pemain-pemainnya. Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan seorang penjaga gol ditumbuk bertalu-talu.

Membuatkan ramai netizen tertanya-tanya ialah mengapa tidak ramai yang tampil mempertahankan penjaga gol itu ketika kejadian?

Berdasarkan video yang tular, hanya beberapa orang sahaja pemain yang cuba meleraikan insiden yang dianggap sepatutnya tidak boleh berlaku ini.

Perlawanan tersebut dipercayai berlangsung diadakan di Padang Bola Sepak swasta yang terletak di Kampung Baru atau pun Shah Alam – padang milik Rhino Arena.

Kami tidak dapat memastikan sama ada si penyerang atau yang diserang adalah rakan sepasukan atau dari dua pasukan berbeza, dan enggan membuat spekulasi mengenai perkara itu.

Rhino Arena melalui satu kenyataan di media sosial rasmi mereka berkata sudah maklum mengenai insiden yang berlaku dan tindakan sewajarnya bakal diambil.

β€œRhino Arena komited dalam menjadikan bola sepak sosial sebagai aktiviti yang penuh dengan semangat kesukanan tanpa sebarang keganasan,” ujar syarikat itu dalam satu kenyataan.

Malah kes tersebut kini dipercayai sudah menjadi kes polis, dan pihak Rhino KV Arena menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Menurut mereka yang hadir menyaksikan perlawanan di situ, punca sebenar insiden adalah dari penjaga gol tersebut yang secara tiba-tiba menyiku penyerang pasukan lawan selepas diasak.

Tindakan tersebut menyebabkan pengadil tidak mempunyai pilihan selain melayangkan kad merah kepada penjaga gol itu. Bagaimanapun penjaga gol tersebut gagal mengawal emosi dan terus melakukan provokasi ketika berjalan keluar dari padang.

Provokasi tersebut kemudiannya dibalas dengan serangan terhadap penjaga gol itu.

Bola sepak sosial seharusnya menjadi platform untuk masyarakat Malaysia bermain bola sepak sambil mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, ia juga wadah untuk bersosial dan mengeratkan silaturahim sesama kita

Namun insiden sehingga terjadi pergaduhan dan tumbuk menumbuk seperti yang tular di video ini sememangnya amat memalukan.

Apa pun alasan yang ditampilkan kedua-dua pihak, insiden sebegini tidak seharusnya dibenarkan dari berlaku.

Masing-masing dah dewasa. Sepatutnya lebih tahu apa yang patut dan tidak, dan tidak bertindak berdasarkan emosi semata-mata.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.