Ini Mesej Gattuso Kepada Shabatnya Pirlo Selepas Bergelar Pengurus Juventus

Gennaro Gattuso memberi amaran awal kepada Andrea Pirlo untuk apa yang beliau bakal hadapi dengan tugas dan tanggungjawab baharu sebagai pengurus Juventus.

Dan perkara terutama menurut Gattuso adalah kecemerlangan bergelar pemain satu ketika dahulu tidak membawa sebarang makna setelah dilantik selaku pengurus.

Bekas pemain tengah yang menjuarai empat kejuaraan Serie A, satu Coppa Italia dan dua Supercoppa Italiana sepanjang tempoh empat musim bersama Juventus menandatangani kontrak selama dua tahun sebagai pengganti Maurizio Sarri.

Gattuso yang beraksi di samping Pirlo ketika bersama Milan dan skuad kebangsaan Itali tidak lokek memberikan bayangan kepayahan yang bakal ditempuhi bekas rakan sepasukannya itu atas tanggungjawab baharu tersebut.

“Habislah, beliau sudah terjerumus… Demikianlah pekerjaan ini,” ujar Gattuso kepada Sky Italia selepas kekalahan Napoli kepada Barcelona di Champions League pada awal pagi tadi.

“Beliau amat bertuah kerana terus bermula bersama pasukan seperti Juventus, tetapi perkerjaan ini tidak pandang langsung akan karier hebat yang pernah anda lalui [sebagai pemain].

“Anda harus sentiasa mengkaji, bekerja keras, dan akan mengalami kurang tidur.”

Berbeza dengan Pirlo, jawatan pengurus pertama disandang oleh Gattuso ialah bersama FC Sion. Gattuso yang kini berusia 42 tahun turut pernah melatih Palermo, OFI Crete dan Pisa sebelum dipanggil melatih skuad remaja Milan pada 2017.

Gattuso kemudiannya mengendalikan skuad utama Milan selepas kelab itu memecat Vincenzo Montella pada tahun yang sama.

Pemain tengah berjambang yang cukup agresif ketika beraksi di tengah padang itu bagaimanapun dilepaskan Milan pada musim lalu setelah hanya menamatkan saingan 2018/19 du kedudukan ke-5.

Gattuso bagaimanapun terus disambar oleh Napoli untuk menggantikan Carlo Ancelotti di Napoli, di mana beliau meraih trofi pertama sebagai pengurus apabila Napoli muncul juara Coppa Italia pada musim ini.

Menjadi pemain, dan bergelar pengurus adalah dua perkara yang tidak mempunyai persamaan langsung,” tambah Gattuso.

“Ia adalah [dua] profesion yang berbeza dan tidak akan mampu hanya belajar dari buku. Kita harus berada di dalam dan bekerja keras. Ia adalah dunia lain.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.