Liverpool tidak membuang banyak masa untuk membawa pemain pertama mereka di jendela perpindahan musim panas kali ini.
Pada awal minggu ini, juara Liga Perdana Inggeris itu mengesahkan ketibaan Kostas Tsimikas dari Olympiakos dengan nilai perpindahan £11.75 juta.
Harus diakui sistem perpindahan pemain di Liverpool adalah antara yang terbaik di dunia. Segalanya dilakukan dengan mudah, cepat dan tanpa banyak masalah.
Sepertimana beberapa kelab lain, Liverpool juga mengenalpasti posisi yang perlu diperkuatkan terlebih dahulu sebelum menyenarai pendekkan pemain-pemain yang difikirkan sesuai.
Welcome to Liverpool, Kostas Tsimikas! 🔴✍️
— Liverpool FC (Premier League Champions 🏆) (@LFC) August 10, 2020
Posisi bek kiri Liverpool adalah antara posisi yang jelas perlu diperkuatkan di dalam skuad The Reds memandangkan Jurgen Klopp hanya memiliki Andy Robertson di posisi itu.
Pada musim lalu, Klopp bernasib baik kerana Robertson tidak mengalami sebarang kecederaan serius sehingga menyebabkan kapten Scotland itu terpaksa disisihkan.
Secara keseluruhan, Robertson beraksi di dalam 63 perlawanan untuk Liverpool dalam semua pertandingan pada musim lalu. Ia adalah jumlah perlawanan yang banyak, dan sudah tentu mengundang risiko kecederaan.
Senarai pemain
Bagi pembelian kali ini jelas sekali Liverpool telah menyenaraikan sekurang-kurangnya dua pemain untuk dibawa masuk bagi posisi bek kiri.
Pilihan pertama besar kemungkinan adalah Jamal Lewis kerana bidaan bernilai £10 juta terlebih dilakukan kepada Norwich untuk pemain itu.
#LFC are considering Norwich City’s Jamal Lewis to provide competition for Andy Robertson at left-back. Willing to pay around £10m to bolster that position. He is represented by PLG, who also manage Robertson and Trent Alexander-Arnoldhttps://t.co/XdZ4PbMyBX
— Melissa Reddy (@MelissaReddy_) August 4, 2020
Namun demikian jelas sekali Norwich enggan melepaskan pemain muda mereka pada harga serendah itu. Norwich dikhabarkan hanya mahu menerima tawaran tidak kurang £20 juta.
Tidak menunggu lama, Liverpool pantas beralih kepada Kostas Tsimikas. Harus diingat Liverpool hanya mempunyai bajet sekitar £12 juta setelah menjual Dejan Lovren kepada Zenit St. Petersburg.
Bagaimana Klopp dan Edwards bertindak?
Liverpool dikhabarkan telah memantau bakat Tsimikas sejak tiga tahun yang lalu. Setelah cubaan mendapatkan Jamal lewis tampak mustahil, maka bek kiri antarabangsa Greece ini adalah pilihan tepat seterusnya.
Apatah lagi Tsimiskas telah menampilkan aksi menakjubkan ketika berhadapan Wolves di saingan Europa League pada minggu lalu. Ia indikasi jelas Liverpool tidak perlu teragak-agak lagi, dan Tsimikas jelas adalah jawapan yang mereka cari.
Apa yang Liverpool lakukan seterusnya? Pengarah Sukan, Michael Edwards dilaporkan telah bertemu dengan bos Olympiacos, Lina Souloukou pada Jumaat lalu selepas perlawanan menentang Wolves.
Liverpool are making a signing!
I'm told that Michael Edwards met with Olympiacos General Manager Mrs Lina Souloukou on Thursday in Wolverhampton to thrash out a deal for defender Kostas Tsimikas.
Deal now likely to be confirmed in the coming days at around €13m #LFC pic.twitter.com/0FDSo4mD9y
— Kevin Palmer (@RealKevinPalmer) August 9, 2020
Rundingan terus dilakukan dan tanda harga £11.75 juta turut berjaya dicapai oleh kedua-dua kelab.
Apabila pihak kelab sudah bersetuju, tiba perkara terpenting iaitu untuk meyakinkan pemain. Di sinilah Jurgen Klopp pula memainkan peranan.
Menurut akhbar di Greece, Sportime, Klopp telah menghubung Tsimikas secara perbibadi dan berkata: “Keputusan kini berada di tangan anda. Kami mahukan anda di sini. Anda akan menyesuaikan diri dengan baik dengan projek kami dan bagaimana kami mahu bermain.”
Kata-kata semudah itu berjaya meyakinkan Tsimikas bahawa inilah masa terbaik untuk mengembangkan kariernya.
Pemain itu lantas terbang ke Merseyside dan menjalani pemeriksaan kesihatan pada Isnin, sebelum secara rasmi diumumkan sebagai pemain Liverpool.
Rumusan
Perpindahan Kostas Tsimikas dari Olympiakos ke Liverpool adalah salah satu contoh perpindahan yang bijak, tidak membazir dan berkesan.
Secara praktikalnya, Liverpool masih berjimat kerana telah menjual Lovren sebelum itu. Pasukan analisis dan scouting turut telah membuat analisis secara berkesan untuk memastikan hanya pemain yang tepat didatangkan ke Anfield.
Sudah tentu masa turut akan memainkan peranan sama ada Tsimikas adalah pemain yang berjaya di Anfield atau sebaliknya.
Namun kita harus akui kelancaran proses pembelian Tsimikas adalah Top Class.