Ini Cara Barca Minta Liverpool Halalkan Baki Hutang Beli Coutinho

Barcelona dilaporkan masih mempunyai baki hutang bernilai £40 juta kepada Liverpool selepas membeli Philippe Coutinho sebelum ini.

Untuk melunaskan hutang tersebut, gergasi Catalan itu telah menawarkan kepada Liverpool untuk mendapatkan semula khidmat pemain kebangsaan Brazil itu.

Ia merupakan berita perpindahan yang agak mengejutkan berkait pemain yang meninggalkan Anfield untuk sertai Barcelona pada 2018 lalu dengan yuran perpindahan yang sungguh besar.

Philippe Coutinho telah ditandatangani dengan nilai lebih dari £140 juta selepas ditambah dengan bonus dan segala klausa yang ada dalam kontraknya.

Namun selain membuat 90 penampilan untuk Barca dengan menjaringkan 24 gol, Coutinho jelas gagal untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya sepanjang kariernya di Nou Camp.

Beliau menghabiskan musim 2019/20 bersama Bayern Munich sebagai pemain berstatus pinjaman, dengan beliau ketika itu turut menjaringkan dua gol ketika membantu Bayern menyingkirkan kelab asalnya dari saingan Champions League.

Barcelona ketika ini dilaporkan menanggung bebanan hutang bernilai £1 billion, termasuk hutang mereka kepada kelab lain berkait urusan perpindahan pemain.

Barca banyak berhutang dengan kelab lain berkait perpindahan pemain yang melibatkan nilai yang tinggi antaranya kepada Liverpool.

Mereka ketika ini sedang dalam usaha untuk melunaskan atau setidaknya mengurangkan kadar hutang sedia ada, agar kelab mampu untuk mendapatkan pemain baru pada musim panas nanti.

Menurut laporan media Sepanyol, AS, salah satu cara untuk Barcelona melenyapkan hutang bernilai €50 juta kepada Liverpool adalah dengan memulangkan semula pemain midfield Brazil itu.

Walau bagaimanapun, sehingga kini Liverpool belum memberi sebarang maklum balas sama ada mereka bersedia untuk menerima tawaran itu atau berminat untuk menandatangani semula Coutinho.

Masalah kecederaan lutut telah membantutkan aksi Coutinho pada musim 2020/21, namun pemain kebangsaan Brazil itu telah menunjukkan rentak persembahan terbaiknya ketika dipinjamkan ke Bayern pada musim lalu.

AS turut melaporkan yang Barcelona turut mahu mengurangkan beban membayar gaji pemain dengan melepaskan beberapa pemain utama kelab.

Pemain veteran, Jordi Alba, Sergio Busquets, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele antara nama-nama besar yang bakal dilepaskan oleh Barca pada musim panas ini.

Jurgen Klopp pada musim 2017/18 sebenarnya sangat mahukan Coutinho untuk kekal bersama Liverpool, namun bintang Barca itu berkeras mahu menyertai Barca.

Klopp pada ketika itu telah memberitahu Coutinho sendiri bahawa:

“Kekal di sini dan mereka akhirnya akan bina tugu peringatan untuk kesetiaan kamu.”

“Pergi saja ke tempat lain, ke Barcelona, ke Bayern Munich, ke Real Madrid, dan kamu hanya akan jadi pemain biasa sahaja. Di sini kamu boleh jadi lebih dari itu.”

Namun adakah Liverpool mahu menghalalkan hutang Barca dengan menerima semula Coutinho? Atau mereka sanggup menunggu lebih lama untuk mendapatkan semula duit yang Barca hutang?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.