Ini Alasan Mengapa Foden Dan Trent Memakai Nombor Besar Pada Jersi Mereka

Trent Alexander Arnold dan Phil Foden melakukan debut profesional masing-masing dengan memakai jersi bernombor besar dan masih kekal memakai nombor sama walau sudah jadi pemain utama kelab.

Phil Foden memilih untuk kekal memakai jersi bernombor 47 sementara Trent Alexander Arnold pula memilih untuk memakai jersi bernombor 66.

Dua nombor yang sungguh ikonik dengan jarang untuk melihat pemain utama dalam saingan premier league menggunakan nombor besar di jersi mereka.

Kedua-dua pemain merupakan bintang masa depan yang dianggap bakat terhebat dunia pada ketika ini dengan persembahan yang mereka tunjukkan.

Trent Alexander Arnold

Pemain full-back terbaik dunia itu telah membantu Liverpool memenangi pelbagai kejuaraan sejak debutnya bersama skuad utama pada tahun 2016.

Sejak debut sehingga kini, Trent masih kekal menggunakan jersi bernombor 66 dan walau beliau pernah ditawarkan untuk menukar nombornya, namun bintang England itu tetap menolak.

Beliau sebelum ini pernah ditawarkan untuk memakai nombor 2, yang mana nombor tersebut sebelum ini dipakai oleh Nathaniel Clyne.

 

Selepas melakukan debut yang cemerlang, pemain berjersi nombor 66 itu terus mendapat kepercayaan dari Klopp dan menjadi pemain penting dalam sistem pengurus Jerman itu.

Tetapi, sekiranya nombor tradisi pemain di posisi back kanan itu sudah tersedia untuknya, Trent Alexander Arnold tetap tidak akan menukar ke nombor yang baru.

Nombor 66 sendiri mempunyai nilai sentimental untuk Trent. Dengan nombor itu beliau mencapai pelbagai kejayaan dalam beberapa tahun ini.

Koordinator pengurusan kit Liverpool, Lee Radcliffe, telah menjelaskan bagaimana sifat santai pemain berusia 21 tahun itu berkenaan dengan nombor jersinya.

“Apabila kami menerima bakat-bakat muda dari akademi, kami sentiasa akan memulakan nombor besar untuk mereka.”

Jelas Radcliffe kepada Official LFC.

“Kami tidak suka untuk memberikan nombor jersi biasa kepada mereka kerana bimbang mereka akan berfikir bahawa mereka sudah berjaya, kamu faham kan maksud saya.”

“Biasanya mereka tidak memilih kerana nombor jersi tu percuma je, kalau nombor yang mereka mahu tu masih kosong kami akan beri kepada mereka.

“Sekarang bila melihat Trent menjulang piala dan meraikannya dengan No 66 dibelakangnya, saya rasa macam pelik dan saya tak boleh gambarkan. Sangat pelik untuk melihat seseorang pemain muda bergembira dengan nombor besar seperti itu.”

“Seseorang seperti Trent sangat gembira dapat peluang beraksi bersama pasukan utama dan jelas dia tidak sedar bertapa bagusnya diri dia. Sebenarnya jujur saya katakan Trent tidak banyak meminta.”

“Saya rasa dia sangat santai, mungkin dia fikir dapat nombor itu untuk selamanya dan dia fikir itu lah satu-satunya nombor dia dan dia perlu simpan tanpa dia sedari ianya menjadi begitu ikonik beberapa tahun ini

Dibawah pengurusan Jurgen Klopp, Trent Alexander Arnold menyinar dan menjadi salah seorang pemain back kanan terbaik dunia.

Beliau menjadi nadi penting dalam sistem serangan serta pertahanan pasukan sehingga berjaya membantu the reds memenangi gelaran liga Juara-juara yang ke-6 mereka musim lalu.

Beliau juga cemerlang dalam saingan Premier League dengan banyak mencatatkan bantuan jaringan untuk pasukan.

Pada musim ini, yang mana musim yang dianggap sukar untuk Liverpool, Trent tetap mampu untuk bersinar dan menjadi antara pemain terpenting yang membantu Liverpool mara ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

 

Liverpool sudah mendapatkan seorang back kanan paling berkualiti untuk tempoh sedekad. Mereka tidak perlu memikirkan untuk mencari pengganti di posisi itu.

Kesimpulannya Trent memilih nombor 66 awalnya secara tidak sengaja kerana diberi oleh pasukan sebab beliau datang dari akademi.

Namun setelah berjaya mencapai pelbagai kejayaan dengan nombor itu, Trent menjadikan nombor itu sungguh ikonik dan beliau sudah serasi dengan nombor 66.

Phil Foden

Phil Foden melakukan debutnya bersama skuad utama Manchester City pada tahun 2017 dan beliau telah dianggap sebagai salah seorang pemain muda terhebat dunia pada ketika ini.

Beliau melakukan debutnya dengan memakai jersi bernombor 47 dan walau pernah ditawarkan untuk menukar nombor tersebut, namun Foden memilih untuk kekal dengan nombornya sekarang.

Pada musim panas yang lalu, Manchester City telah menawarkan untuk Phil Foden menukar nombor jersinya, namun beliau menolak dan memilih untuk kekal dengan nombor yang dipakai sekarang.

Alasan mengapa Foden menolak untuk memakai nombor yang baru sebenarnya sangat menyentuh hati dan boleh difahami mengapa nombor tersebut begitu bermakna untuknya.

Pemain muda itu terus menerus mencuri tumpuan peminat dengan kehebatan dan persembahan mantap yang sering beliau pamerkan di atas padang.

Kebanyakkan penyokong Man City sendiri bingung memikirkan mengapa pemain midfield kelahiran Stockport itu terus memakai nombor 47 walau sudah beraksi bersama skuad utama.

Menurut laporan Jack Gaughan dari Mail Sport, nombor 47 yang Foden pakai itu sebenarnya kerana beliau memberi penghormatan kepada mendiang datuknya, Ronnie yang telah meninggal dunia ketika berusia 47 tahun.

Ketika beliau ditawarkan untuk menukar nombornya, Foden telah menolak dengan baik dan menjelaskan hasratnya untuk kekal mengguna nombor 47 itu.

Nombor tersebut membawa maksud yang mendalam terhadap kehidupan, warisan keluarga, kebanggaan keluarga yang beliau bawa selama ini, dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan antara keluarganya dengan Manchester City.

Walau bagaimanapun, terdapat laporan terbaru yang menyatakan bahawa legenda terhebat sepanjang zaman kelab, Sergio Aguero telah mewasiatkan nombor 10 keramatnya kepada Phil Foden.

Ia kerana Sergio Aguero akan meninggalkan Etihad pada musim panas ini selepas beliau mengharungi karier 10 tahun yang sungguh luar biasa menakjubkan bersama Manchester City.

Aguero sepanjang kariernya bersama City, beliau telah berjaya menjaringkan 260 gol dari 389 perlawanan.

Pep Guardiola sendiri pernah menyatakan yang Manchester City tidak mampu untuk mencari pengganti kepada penyerang legenda mereka itu.

Walau bagaimanapun, Aguero baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau merasakan Foden adalah calon paling layak untuk menyarung jersi No.10 yang akan beliau tinggalkan itu.

Bercakap dalam satu siaran langsungnya sendiri, Aguero menyatakan:

“Saya rasa jersi No.10 seharusnya diberikan kepada Phil Foden. Ada yang kata Kevin. Masalahnya, saya percaya Kevin memang guna No.17 itu bersama kelab lain, jadi saya tak rasa dia mahu tukar. Sebab tu saya rasa Phil Foden.”

Aguero juga menggambarkan Foden sebagai pemain yang menakjubkan dengan memanggilnya “crack player”. Yang mana ia membawa maksud luar biasa atau bertaraf dunia.

Pada tahun 2011, yang mana ketika itu Foden baru berusia 11 tahun, dan beliau merupakan budak milo yang melihat Aguero menjaringkan dua gol bertemu Swansea dalam aksi debutnya bersama City.

Beberapa tahun selepas itu, Foden berkesempatan bermain bersama Aguero dengan menjadi rakan sepasukannya, bahkan pernah mencatatkan assists untuk gol jaringan bintang Argentina itu.

Foden memberi penghormatan terakhir kepada bintang Argentina itu yang akan meninggalkan City bulan hadapan.

Sebaik tamat aksi bertemu Everton dengan pemain berusia 20 tahun itu sendiri muncul sebagai penjaring gol, Foden telah menyatakan:

“Dia sungguh luar biasa kan?”

Jelas Foden menurut laman rasmi Manchester City.

“Kamu tahu bagaimana para peminat saya dia dan semua pemain juga seperti itu? Kamu boleh nampak itu pada hari ini ketika dia jaringkan gol semua orang berlari ke arah dia untuk meraikan gol tersebut.”

“Saya pernah jadi budak milo di sini melihatkan dia bermain selama bertahun-tahun dengan menjaringkan begitu banyak gol.”

“Sangat sedih untuk melihat dia pergi tapi saya mengharap yang terbaik untuk dia tak kira ke mana saja dia pergi lepas ni.”

Walau Foden pernah menolak untuk menukar nombor jersinya, namun tidak pasti adakah beliau akan kekal menolak atau bakal menerima wasiat terakhir dari legenda terhebat sepanjang zaman kelab itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.