Imbas Kembali Gol Ke-100 MSL Indra Putra Yang Melencong Ke Sudut Atas Gawang

Nama Indra Putra Mahayuddin dalam arena bola sepak negara tidak perlu diperkenalkan, memandangkan dia antara salah seorang pemain senior yang masih bertahan dalam saingan Liga Malaysia.

Indra Putra meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri apabila berjaya merakam 100 gol dalam aksi Liga Super pada tahun lalu.

Bekas penyerang kebangsaan yang berpengalaman luas di saingan bola sepak tempatan itu meledak gol ke-100 ketika aksi Kuala Lumpur bertemu PKNS FC.

“Sepanjang lebih kurang 21 tahun, ini adalah saat paling indah bergelar pemain bola sepak.

“Untuk mencatat jumlah ini bukan sesuatu yang mudah, mengambil masa, tapi sangat puas apabila melihat hasilnya,” ujar Indra kepada media selepas berjaya menjaringkan gol ke-100 tersebut.

Sebagai rekod, bekas pemain kebangsaan itu meledak gol pertamanya ketika beraksi bersama Pahang dan jaringan sulung itu dilakar ketika menentang Sabah pada 21 Februari 2004.

Malah pada tahun 2004 itu, Indra Putra berjaya memenangi anugerah kasut emas untuk edisi pertama Liga Super Malaysia, dengan 15 gol dalam 21 perlawanan.

Maka tidak hairanlah Indra Putra juga pernah digelar pemain terbaik Malaysia pada 2004 oleh jurulatih Perak, Steve Darby.

Dilahirkan pada 2 September 1981, Indra kini berusia 39 tahun dan masih lagi mencurahkan keringat di atas padang bersama Kuala Lumpur FA.

Ayuh imbas kembali gol ke-100 yang dijaringkan oleh Indra Putra.

Rekod penjaring gol terbanyak Liga Super Malaysia

Indra Putra Mahayuddin – 100 gol
Ashari Samsudin – 79 gol
Norshahrul Idlan Talaha – 70 gol
Mohd Amri Yahyah – 66 gol
Marlon Alex James – 59 gol
Francis Forkey Doe – 58 gol
Baddrol Bakhtiar – 57 gol
Mandjou Keita – 53 gol
Fadzli Shaari – 53 gol
Phillimon Chepita – 52 gol
Safee Sali – 52 gol

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.