Hulk Hogan Puji Roman Reigns Lebih Bagus Dari The Rock

Roman Reigns berjaya mencapai tahap yang baru pada tahun 2020 dan beliau semakin mendapat tempat dihati peminat.

Selepas berehat panjang kerana penyakit yang beliau alami, Roman Reigns kembali beraksi dan dengan segera bersaing untuk merebut sabuk kejuaraan Universal WWE.

Sebaik bergelar Juara, Roman Reigns kini telah menjadi bintang terbesar di bawah jenama Smackdown dan beliau juga merupakan penggusti terhebat dalam WWE ketika ini.

Selain menjadi penggusti terhebat di bawah jenama Smackdown dan syarikat, Roman Reigns juga merupakan pemegang watak heel terbaik yang pernah WWE miliki kini.

Selepas keluar dari karakter babyface beliau sebelum ini, Roman telah mendominasi kesemua penggusti yang menghalang laluannya dan beliau juga memainkan peranan sebagai ‘head of the table’ dan ia sangat sesuai dengan beliau.

Karakter Reigns menjelaskan bahawa beliau sangat yakin dan percaya, faktor keturunannya sahaja sudah cukup untuk menjadikannya watak utama dalam WWE.

Beliau kini sedang meneruskan legasi dinasti Samoa yang sebelum ini dipikul oleh legenda WWE, The Rock.

Sementara Dwayne Johnson pula, beliau sememangnya sudah dianggap sebagai salah seorang penggusti terhebat pernah beraksi dalam dunia gusti profesional.

Legenda WWE, Hulk Hogan baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa bahawa Roman Reigns lebih bagus berbanding The Rock.

“Ayah Roman Reigns, Sika dan rakannya Afa, mereka berdua banyak membantu saya ketika saya perlukan.”

Hogan mendedahkan hal tersebut ketika sidang media menjelang kembalinya beliau ke acara RAW Legends Night.

“Saya sangat menghormati dinasti Samoan dan sangat memahami macam mana kegemilangan mereka dengan adanya The Rock.”

“Saya melihat Roman Reigns membawanya ke tahap yang baru. Dia sempurna, dia konsisten, dia ada rupa dan tiada kekurangan dari segi kerjanya. Dia sangat, sangat menepati kriteria hebat.”

Ia merupakan pujian yang sangat membanggakan datang dari seorang legenda yang tidak asing dari dunia gusti professional ini.

Walau ramai yang mungkin akan mempertikaikan kenyataan dari Hogan itu, namun tidak dinafikan bahawasanya Roman Reigns sememangnya sudah melakukan kerja yang cukup bagus bersama WWE.

Setiap perlawanan yang disertai olehnya sentiasa beri kepuasan kepada penonton yang menonton, baik secara langsung mahupun menerusi layar TV.

WWE juga dilaporkan sedang dalam usaha untuk mengadakan perlawanan yang bakal menemukan Roman Reigns dan The Rock.

Kedua-dua penggusti itu mungkin akan dipertemukan di acara WretleMania dan seandainya ia terjadi, perlawanan antara mereka berdua pastinya akan menjadi antara perlawanan terbesar dalam sejarah WWE.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.