[Highlight] Suku Akhir Champions League: Bayern Munich 8-2 Barcelona

Messi dimalukan. Barcelona dimusnahkan. Seluruh wilayah Catalonia diaibkan, termasuk semua penyokong-penyokong setia kelab yang berpengkalan di Nou Camp itu.

Semua orang menjangkakan pertemuan Bayern Munich menentang Barcelona akan menjadi satu perlawanan penuh klasik. Perlawanan panas sebegini kebiasaannya akan hadir dengan drama.

Dan kebiasaannya juga apabila dua pasukan gergasi bertemu, perlawanan hanya dibezakan oleh satu kesilapan yang terus dihukum.

Dan mungkin juga akan diwarnai oleh kesilapan pengadil dan salah penilaian oleh VAR yang akan menjadi talking point selepas perlawanan

Namun selepas 90 minit perlawanan hanya ada dua cerita. Bayern Munich berpesta, Barcelona pula menangis tak berlagu.

30 minit yang gila

Barcelona bermula dengan baik. Namun ia adalah sumbangan David Alaba yang menjaringkan gol sendiri paling gila pernah belaku hasil daripada hantaran lintang Jordi Alaba.

Pada ketika ini ia seperti pendapat awal anda mengatakan ini akan menjadi perlawanan yang seimbang adalah salah. Apatah lagi Luis Suarez kemudiannya memiliki peluang satu lawan satu dengan penjaga gol, dan percubaan Lionel Messi kena tiang.

Walaupun ketinggalan, Bayern Munich kemudian seperti sebuah kereta berkuasa tinggi yang menukar gear untuk memintas dan dalam 30 minit sudah jauh dihadapan memintas lawan.

Di dalam tempoh 30 minit seterusnya, Bayern mendahului Barca 4-1. Lihat sahaja statistik sepanjang babak pertama perlawanan:

Barcelona 1-4 Bayern:

Jumlah percubaan: 3-14

Percubaan tepat: 3-7

Ketepatan hantaran: 86%-89%

Penguasaan bola: 54%-46%

 

Pendahuluan 4-1 Bayern Munich

Ivan Perisic menjadi pemain kedua mencetak nama dalam senarai penjaring selepas rembatan kaki kiri menewaskan Marc Andre ter Stegen. Gol berpunca daripada Seri Roberto yang mudah kehilangan bola.

Kemudian ia giliran bekas pemain Arsenal, Serge Gnabry meletakkan bola di penjuru bawah gawang gol Barcelina selepas hantaran menakjubkan Leon Goretzka, sebelum Muller melengkapkan kebangkitan Bayern pada babak pertama perlawanan.

Suarez beri Barcelona harapan

45 minit pertama perlawanan yang sukar dijelaskan untuk Barcelona, dan bayangkan saja apa yang berlaku di dalam bilik persalinan skuad kendalian Quique Setien sepanjang tempoh 15 minit rehat.

Bayern memulakan babak kedua tidak jauh beza seperti pada babak pertama. Mereka mencipta banyak peluang, tetapi akhirnya Barcelona yang terlebih dahulu menjaringkan gol melalui Luis Suarez.

Suarez memberikan tinta harapan untuk Barcelona bangkit selepas gerakan menarik menewaskan Jerome Boateng sebelum dengan tenang menewaskan Neuer dengan kaki kiri.

Bayern mula aibkan lawan

Namun harapan itu hanya sebentar sahaja untuk Barca, dan Bayern kembali mengganas pada babak akhir separuh masa kedua.

Kali ini naib juara LaLiga itu dibocori lagi apabila hantaran menarik dari Alphonso Davies dengan mudah ditolak masuk Joshua Kimmich.

Walaupun sudah membocori gawang gergasi Sepanyol itu lima kali, ia seolah-olah tidak cukup untuk kelab Jerman itu.

Robert Lewandowski yang sentiasa dibandingkan dengan pencapaian Messi turut memastikan dirinya mencetak nama sebagai penjaring dengan satu gol.

Gol tersebut terpaksa melalui semakan VAR yang lama untuk memastikan penyerang Polan itu tidak offside sebelum disahkan.

Selepas Lewandoski, giliran pemain buangan Barcelona sendiri, Philippe Coutinho mencetak nama sebagai penjaring gol untuk menjadikan kedudukan 7-2.

Tidak cukup dengan itu Coutinho yang sebenarnya berstatus pinjaman dari Barcelona kemudian sekali lagi menjaringkan satu gol untuk melengkapkan pesta gol.

Ia ibarat misi balas dendam buat pemain dari Brazil itu yang terdesak membuktikan kemampuannya kepada kelab-kelab besar Eropah, beliau masih lagi pemain yang sama sepertimana ketika beliau masih bersama Liverpool.

Tamat perlawanan, Bayern Munich menewaskan Barcelona 8-2, dan perlawanan ini akan terpahat dalam sejarah yang mahu dilupakan oleh peminat Messi dan penyokong Barcelona.

Bayern Munich mara ke separuh akhir. Barcelona terciduk lagi.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.