[Highlight] Separuh Akhir Europa League: Sevilla 2-1 Man Utd

Sevilla memusnahkan impian Manchester United untuk sekurang-kurangnya memiliki satu kejuaraan pada musim ini apabila skuad kendalian Ole GunnarSolksjaer disingkirkan oleh kelab Sepanyol itu di peringkat separuh akhir Champions League pada awal pagi tadi.

United tewas tiga perlawanan separuh akhir dalam tiga pertandingan berbeza pada musim ini walaupun mendahului melalui sepakan penalti oleh Bruno Fernandes pada minit ke-22 perlawanan, setelah Marcus Rashford dijatuhkan oleh Diego Carlos.

Sevilla yang dilabel sebagai pakar Europa League menyamakan kedudukan sebelum waktu rehat melalui bekas pemain Liverpool, Suso yang berjaya menewaskan David de Gea.

Nasib United seolah-olah sudah tertulis selepas kegagalan mereka memanfaatkan peluang demi peluang pada awal babak kedua perlawanan, dan penjaga gol Sevillla, Tassine Bounou dilihat sebagai hero selepas berjaya menafikan Anthony Martial berulang kali.

Sevilla yang turut menewaskan Wolves di suku akhir mengesahkan kemenangan apabila Luuk de Jong menyambar hantaran Jesus Navas 12 minit sebelum perlawanan tamat.

Selain dari gagal memanfaatkan peluang, United turut dihukum akibat bahagian pertahanan yang lemah sehingga menyebabkan Fernandes bersemuka dengan Victor Lindelof setelah gol kedua Sevilla dihasilkan.

Musim yang panjang buat United hanya diakhiri dengan kekecewaan setelah terlepas peluang meraih sebarang kejuaraan yang kali terakhir diraih tiga tahun lalu di bawah kendalian Jose Mourinho.

Kehebatan penjaga gol Sevilla menafikan percubaan demi percubaan jentera serangan United boleh sahaja dijadikan alasan kegagalan menjaringkan gol.

Namun dengan deretan peluang yang hadir – terutama melalui Martial – United sepatutnya mampu menghasilkan satu gol dari deretan peluang yang hadir.

Kegagalan di hadapan memberikan ruang dan keyakinan untuk Sevilla melakukan sesuatu, sepertimana pasukan yang dianggap berbakat ini pernah buktikan sebelum ini. Kelab Sepanyol ini juga dianggap sebagai pakar pertandingan ini selepas menjuarainya lima kali sebelum ini.

Dan perkara itu dibuktikan melalui gol kemenangan De Jong – yang dibantu oleh kelemahan di bahagian pertahanan.

Kali ini Lindelof dan Aaron Wan-Bissaka dipersalahkan selepas kedua-duanya membenarkan Navas dengan mudah melakukan hantaran lintang untuk De Jong.

United sukar memberikan respon selepas itu. Pemain sudah kepenatan, dan gol De Jong itu turut meruntun semangat pemain.

Solksjaer hanya melakukan sedikit pertukaran pada babak akhir perlawanan, namun tiada apa yang boleh mengubah kelemahan yang sudah lama menjadi penyakit Manchester United.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.