[HIGHLIGHT] Separuh Akhir Europa League: Inter Milan 5-0 Shakhtar

Inter Milan berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Europa League selepas dengan mudah menewaskan Shakhtar Donetsk 5-0 pada awal pagi tadi.

Dua gol daripada penyerang berusia 22 tahun Lautaro Martinez, dua lagi gol dari Romelu Lukaku, dan tandukan Danilo D’Ambrosio memastikan laluan mudah untuk Inter melangkah ke perlawanan akhir menentang Sevilla pada Jumaat akan datang.

Lukaku kini telah menjaringkan 33 gol untuk Inter sepanjang musim ini, beraksi 90 minit penuh dalam perlawanan ini, dan menjaringkan gol dalam perlawanan ke-10 secara berturut-turut di Europa League.

Gol pertama Lukaku adalah hasil hantaran cantik dan kemas oleh Martinez. Gol kedua pula adalah gol solo menakjubkan selepas Lukaku menewaskan pertahanan lawan dengan lariannya sebelum melepaskan rembatan kaki kanan.

Ia pasti perit buat Ole Gunnar Solksjaer dan penyokong United yang terpaksa menyaksikan Inter melangkah ke final dengan tiga bekas pemain, termasuk Alexis Sanchez dan Ashley Young berada di dalam skuad Antonio Conte.

Skuad The Red Devils menghasilkan 46 percubaan menentag Copenhagen di suku akhie dan Sevilla di separuh akhir, namun hanya berjaya menghasilkan jaringan melalui dua sepakan penalti Bruno Fernandes.

Ashley Young diturunkan oleh Conte di dalam kesebelasan utama sebelum diganti pada minit ke-66 oleh Cristiano Biraghi ketika kedudukan 2-0.

Sanchez pula berada di bangku pemain simpanan tatkala beliau harus pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang dialaminya.

Bagaimana prestasi Lukaku boleh begitu menyerlah berbanding ketika beliau di United?

Bekas penyerang Manchester United, Robin Van Persie yakin perubahan prestasi Lukaku adalah kerana beliau gembira di San Siro.

“Lukaku kelihatan amat gembira. Conte benar-benar mengerah pemainnya. [Stefan] De Vrij pernah memberitahu saya pra musim [di bawah Conte] adalah sukar,” kata Van Persie.

“Hasilnya anda boleh lihat mereka beraksi sebagai satu pasukan.

“Lukaku membuat keputusan tepat, dan ia mengembalikan keyakinannya. Beliau sedang melalui tempoh yang baik, dan gembira.

“Jika dilihat pada musim terakhir di Manchester United, jelas sekali beliau tidak gembira, dan sekarang Lukaku menemui kembali kegembiraan itu.”

Lukaku boleh meraikan musim pertama yang gemilang sekiranya Inter berjaya menewaskan Sevilla di perlawanan akhir Jumaat nanti.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.