[Highlight EPL 2020/21]: Liverpool 2-1 Sheffield United

Liverpool kembali ke landasan kemenangan di saingan Liga Perdana Inggeris apabila jaringan oleh Diogo Jota pada babak kedua perlawanan memberikan kemenangan 2-1 ke atas Sheffield United pada awal pagi tadi.

Tempoh malang akibat keputusan seri penuh kontroversi pada minggu lalu, dan kekalahan memalukan 7-2 kepada Aston Villa sebelum tempoh rehat antarabangsa sebelum itu seperti akan terus berlarutan dalam perlawanan ini apabila The Blades terlebih dahulu mendahului pada minit ke-13 melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Sander Berge.

Gol pertama Roberto Firmino pada musim ini sebelum tamat babak pertama perlawanan menyamakan kedudukan untuk Liverpool, sebelum Jota mengesahkan tiga mata dengan jaringan minit ke-64 perlawanan – jaringan kedua peribadi beliau sejak perpindahan ke Anfield pada bulan lalu.

Kemenangan ini meletakkan Liverpool di kedudukan kedua liga, memiliki mata yang sama dengan pendahulu Everton, tatkala skuad kendalian Chris Wilder terus gagal mengecapi sebarang kemenangan sejak musim bermula.

Liverpool bermula dengan baik dalam perlawanan ini dan hampir sahaja berada di hadapan selepas lima minit perlawanan, namun aksi tangkas Aaron Ramsdale berjaya menafikan sepakan percuma Trent Alexander-Arnold dari jarak 45 meter.

Pasukan tuan rumah kemudiannya memberikan lawan penalti pertama di Anfield dalam pertandingan Premier League – yang pertama sejak Oktober 2018.

Kali ini Fabinho dipersalahkan kerana menjatuhkan Oliver McBurnie dan Berge dengan tenang menewaskan penjaga gol terbaik dunia, Alisson Becker yang baru pulih dari kecederaan.

Skuad kendalian Wilder kemudian terus mengancam untuk memburu seterusnya, tetapi penjaga gol dari Brazil itu cemerlang menafikan voli deras dari Beb Osborn.

Kemudian giliran tuan rumah pula untuk mencetak jaingan melalui Firmino yang menolak bola masuk empat minit sebelum babak pertama berakhir setelah Ramsdale gagal menolak kemas bola tandukan Sadio Mane.

George Baldock dan Mohamed Salah kemudiannya berpeluang menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing pada permulaan babak kedua, namun gagal berbiay demikian

Gol jaringan oleh Salah selepas sejam perlawanan berlangsung misalnya, telah dibatalkan oleh pengadil kerana offside.

Kekecewaan The Reds tidak kekal lama apabila Jota menanduk masuk hantaran lintang dari bahagaian sayap kiri oleh Sadio Mane untuk Liverpool berada di hadapan.

Salah sekali lagi terlepas peluang apabila percubaan beliau terkena tiang ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Namun kegagalan itu tidak membawa maksud apa-apa lagi apabila Liverpool kini tidak tewas dalam 62 perlawanan terakhir mereka di Anfield.

Β 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.