Hazard Membuat Kemunculan Semula Dalam Saingan La Liga Dengan Jaringan Sungguh Padu!

Eden Hazard membuat kemunculan semula untuk Real Madrid sejak kali terakhir aksinya pada Julai lalu dengan menjaringkan gol yang cukup mengagumkan untuk Los Blancos.

Pemain kebangsaan Belgium itu mengalami sedikit kesukaran sejak perpindahan meganya menyertai Madrid dari Chelsea pada tahun 2019 lalu.

Setelah direhatkan selama beberapa bulan, Hazard berharap agar beliau mampu untuk mendapatkan kembali rentak persembahan terbaiknya selepas diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Huesca malam semalam.

Selepas mengalami kemarau jaringan untuk kelab selama hampir 392 hari, Hazard berjaya membuka akaun golnya dalam saingan La Liga musim ini dengan jaringan yang sungguh mengagumkan.

Real Madrid hanya mampu untuk membuka tirai jaringan dalam perlawanan menentang Huesca ini pada minit ke-40 menerusi Eden Hazard.

Hazard yang ketika itu menerima bola hasil hantaran dari Federico Valverde berjaya membuat pusingan yang kemas sebelum melepaskan rembatan padu dengan kaki kirinya untuk menggegar gawang gol Huesca.

Rembatan padu paras pinggangnya jelas sukar untuk diselamatkan oleh mana-mana penjaga gawang di muka bumi ini.

Sebelum mencipta jaringan padu itu, kali terakhir beliau menjaringkan gol untuk Real Madrid adalah ketika bertemu Granada pada 5 Oktober 2019 yang lalu.

Para peminat akhirnya berjaya melihat nama Hazard kembali tercatat sebagai penjaring gol untuk Real Madrid setelah hampir setahun beliau gagal untuk melakukannya.

Hal ini kerana Hazard lebih banyak direhatkan ekoran dari beberapa siri kecederaan yang beliau alami dan rentak aksi tidak menentu yang beliau pamerkan.

Eden Hazard sebelum ini telah dikritik dan dikecam teruk oleh para peminat serta media kerana beliau kembali ke kem latihan dengan berat badan yang berlebihan dalam dua musim terakhir ini.

Walaupun pemain berusia 29 tahun itu turut dikalungkan dengan pingat kejuaraan saingan La Liga musim lalu, Hazard sendiri mengakui bahawa musim tersebut merupakan musim yang terburuk dalam kariernya.

“Tahun ini kami berjaya memenangi kejuaraan Liga, tapi apa yang pasti saya telah mengharungi satu musim yang terburuk dalam karier saya secara peribadinya.”

Jelas Hazard kepada France Info.

“Musim ini bagi saya sungguh janggal, dengan apa saja yang sudah terjadi. Ketika kamu bermain untuk Real Madrid, kamu pastinya mahu memenangi semua Piala.”

Sebelum rehat babak pertama permainan, Karim Benzema berjaya menjaringkan gol kedua untuk Real Madrid mendahului perlawanan dengan keputusan 2-0.

Masuk babak kedua permainan, Federico Valverde berjaya menjaringkan gol ketiga untuk Madrid selepas menerima bola hantaran dari Karim Benzema.

Huesca berjaya menjaringkan gol pertama mereka dalam perlawanan ini pada minit ke-74 untuk mengubah kedudukan menjadi 3-1.

Sebelum tamat perlawanan, Karim Benzema sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya dan gol keempat untuk Real menewaskan Huesca 4-1.

Kemenangan tersebut telah meletakkan Real di puncak saingan La Liga dengan mengumpul 16 mata dari tujuh perlawanan musim ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.