Harry Kane Sudah Beritahu Tottenham Bahawa Beliau Akan Meninggalkan Kelab Pada Musim Panas Ini

Harry Kane dilaporkan sudah memberitahu pihak Tottenham Hotspur bahawa beliau mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Bintang kebangsaan England itu turut mendedahkan bahawa beliau masih mahu kekal beraksi dalam saingan premier league.

Kane dianggap sebagai salah seorang penyerang terhebat dunia pada ketika ini, beliau juga telah dikaitkan dengan bakal menyertai pelbagai kelab sebelum ini.

Kegagalan beliau memenangi sebarang kejuaraan bersama Tottenham Hotspur telah mengundang pelbagai persoalan berkait masa depan beliau bersama kelab kesayangannya itu.

Bahkan Kane sendiri sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau mahu memenangi Piala dan ketika itu beliau mahu memenanginya bersama Tottenham Hotspur.

Namun ia sepertinya satu hal yang mustahil untuk berlaku dengan Spurs gagal untuk memenangi sebarang kejuaraan walau telah melakukan pelbagai usaha.

Terbaru, menurut sumber laporan Sky Sports, pemain berusia 27 tahun itu telah memberitahu pihak kelab bahawa beliau mahu pergi dan apa yang menyakitkan pihak kelab adalah kerana beliau masih mahu kekal dalam saingan premier league.

Kane telah dikaitkan dengan kedua-dua Manchester City dan Manchester United sebelum ini, dan kedua-dua pasukan tersebut bersama Chelsea merupakan antara kelab yang mampu untuk mendapatkan Kane dalam saingan premier league.

Skuad kendalian Pep Guardiola yang baru sahaja menjulang kejuaraan liga musim ini dilaporkan sedang dalam usaha mereka untuk mencari penyerang terbaru.

Ia kerana penjaring terbanyak sepanjang zaman City, Sergio Aguero bakal meninggalkan Etihad pada penghujung musim ini dan City perlu menandatangani pemain baru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bintang Argentina itu.

United sendiri pula sudah sering digesa untuk menandatangani pemain penyerang terbaru walaupun mereka ketika ini sudah memiliki Edinson Cavani.

Roy Keane sendiri sebelum ini secara terang-terangan telah menegaskan bahawa Manchester United harus menandatangani Harry Kane seandainya mereka mahu mencabar kejuaraan liga.

Perjanjian bekas pemain yang dipinjamkan ke Leicester City itu akan berakhir pada musim panas 2024 nanti, maka Spurs dengan mudah boleh meletakkan tanda harga £120 juta untuk pemain penyerang mereka itu.

Di luar England pula, Kane turut sering dikaitkan dengan berpotensi untuk ditandatangani oleh Real Madrid sebelum ini.

Real Madrid turut menyatakan minat mereka untuk menandatangani kedua-dua Erling Haaland dan Kylian Mbappe selain Kane pada musim panas ini nanti.

Klausa perlepasan pemain penyerang Borussia Dortmund itu akan diaktifkan pada tahun hadapan, namun nama beliau merupakan antara yang paling hangat pada jendela perpindahan musim panas ini.

Kontrak Mbappe bersama PSG pula akan berakhir pada musim panas tahun hadapan, dengan beliau ketika itu boleh ditandatangani secara percuma sahaja.

PSG juga berkemungkinan bakal menjadi destinasi seterusnya untuk Harry Kane dan ia memungkinkan untuk melihat beliau kembali bergabung dengan bekas pengurusnya, Mauricio Pochettino.

Menurut laporan di Perancis sebelum ini, Poch pernah bercakap dengan bekas pemainnya berkait potensi untuk menyertai PSG beberapa minggu yang lalu.

Ke mana hala tuju Kane selepas ini? Bincangkan di ruangan komen.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.