Harry Kane Dilihat Begitu Beremosi Ketika Beliau Mengucapkan Terima Kasih Kepada Para Penonton

Dalam aksi yang memungkinkan bakal menjadi perlawanan terakhirnya bersama kelab, Harry Kane telah melakukan satu hal yang membuatkan para penyokong begitu beremosi.

Beliau berjalan mengelilingi Tottenham Hotspur Stadium secara bersendirian sambil bertepuk tangan tanda terima kasih kepada para penonton, selepas tamat perlawanan bertemu Aston Villa.

Tottenham Hotspur dikecewakan dengan kekalahan 2-1 dalam aksi perlawanan terakhir di halaman sendiri musim ini kepada Aston Villa.

Gol jaringan Ollie Watkins dan gol sendiri yang sungguh cantik dari Sergio Reguilon melengkapkan kemenangan 2-1 Villa menewaskan Spurs, seterusnya mengutip tiga mata yang mereka mahukan.

Ia merupakan aksi persembahan yang agak hambar dari pasukan tuan rumah yang dilihat tidak bermain ditahap mereka yang sepatutnya.

Dan dengan berita yang sedang tular melibatkan bintang utama mereka bakal meninggalkan kelab, para peminat tidak melepaskan peluang untuk menonton aksi persembahan legenda mereka buat kali terakhir.

Kane seolah-olah membuat acara farewell selepas tamat perlawanan tersebut dengan beliau dilihat begitu beremosi mengelilingi stadium sambil menunjuk rasa hormatnya kepada para penonton.

Terdapat laporan pada hari Isnin lalu yang menyatakan bahawa pemain kebangsaan England itu telah memberitahu pihak Spurs bahawa beliau mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Selepas Kane mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini, Tottenham Hotspur telah meletakkan tanda harga yang tinggi untuk pemain utama mereka itu.

Menurut sumber laporan dari Sportsmail, Tottenham Hotspur telah meletakkan nilai £150 juta kepada mana-mana kelab yang berminat untuk menandatangani Kane.

Manchester United, Chelsea dan Manchester City antara pasukan dari premier league yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Selain itu Paris Saint Germain juga turut mengintai kesempatan andai mereka berpeluang untuk mendapatkan penyerang terhebat dunia itu.

Spurs dilaporkan sama sekali tidak terkesan dengan segala khabar angin yang sedang tular ketika ini, namun dengan ketiadaan Kane dalam video terbaru mereka, ia telah mengundang pelbagai spekulasi yang mengukuhkan dakwaan bahawa mereka bakal melepaskan penyerang utama kelab itu.

Tottenham Hotspur telah menyiarkan satu video pendek bertujuan untuk mengucapkan selamat kembali kepada para penonton yang sudah dibenarkan untuk menonton perlawanan di stadium.

Ketika persiapan sebelum aksi bertemu Aston Villa ini, Spurs telah menyediakan satu klip video khas dan memuat naiknya di media sosial kelab.

Dalam klip video tersebut, Lucas Moura, Son Heung Min dan Emile Hojbjerg telah berucap meluahkan rasa bangga mereka untuk menyambut kehadiran penonton ke stadium.

Namun dek kerana ketiadaan bintang utama kelab, Harry Kane, para peminat mulai bingung dan ia turut mengundang rasa kecewa di kalangan peminat Tottenham Hotspur sendiri.

Walaupun telah banyak desas desus berkait Kane akan meninggalkan kelab, namun beliau sehingga kini masih belum menghantar ‘transfer request’ secara rasmi lagi kepada kelab.

BBC Sport turut melaporkan bahawa pemain kebangsaan England itu masih belum berkomunikasi secara terus lagi dengan pimpinan kelab berkait hasratnya untuk pergi.

Ia bermaksud, pemain berusia 27 tahun itu mungkin mempunyai perjanjian khusus antaranya bersama kelab yang membolehkan beliau untuk pergi pada musim panas nanti.

Walau bagaimanapun, tindakan pemain lain membiarkan Kane berjalan bersendirian untuk mengucapkan terima kasih kepada para penonton adalah sangat tidak wajar.

Spurs perlu mencatat kemenangan ketika bertemu Leicester City dalam aksi perlawanan terakhir saingan liga musim ini pada hujung minggu nanti di King Power Stadium.

Leicester City juga terdesak untuk menewaskan Spurs pada hujung minggu ini, dalam usaha mereka untuk menamatkan aksi saingan liga di kedudukan empat teratas.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan yang memerlukan kemenangan ini tentunya sangat menarik untuk ditonton dan bakal menjadi perlawanan tumpuan pada hujung minggu ini nanti.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.