Jaringan Danial Amier pada minit ke-29 pastikan Malaysia singkirkan pasukan pilihan Arab Saudi daripada kejohanan Piala Asia B-23 tahun.
Lebih ironi, ini adalah kali pertama Malaysia beraksi dalam kejohanan ini. Malaysia mengutip mata pertama dalam kejohanan ini ketika menentang Jordan beberapa hari lalu.
Ramai penyokong Malaysia memberikan pujian dan kekal realistik bahawa Arab Saudi pasukan yang lebih baik namun kita tetap ada peluang. Malaysia mengiringi Iraq untuk ke peringkat kalah mati.
Sepanjang perlawanan, Malaysia dipaksa bekerja keras untuk mempertahankan gol pendahuluan. Datuk Ong Kim Swee memberikan arahan taktikal agar pemain-pemain lebih berdisiplin pada separuh masa kedua.
Arab Saudi hanya memerlukan seri untuk mara ke pusingan seterusnya. Beberapa aksi gugup pertahanan Malaysia masih gagal dihukum Arab Saudi. Mereka buntu!
Perlawanan lebih banyak berada di kawasan Malaysia. Dan ianya sudah dijangka. Malaysia ada gol penting untuk dipertahankan.
Gol Danial Amier pastinya mengejutkan pasukan Arab Saudi yang sangat dominan di dalam perlawanan ini. Satu rembatan deras yang tidak mampu diselamatkan.
Sebelum rehat, Arab Saudi mendapat peluang terbaik apabila Abdulelah Al Amri menggerakkan serangan dan mencipta peluang gol kepada Abudullah Al Joui. Namun Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan keadaan.
Separuh masa kedua adalah 45 minit paling lama dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Arab Saudi mulai mencipta lebih banyak hantaran lintang. Namun mereka sangat tumpul di hadapan gol.
Hamdan Al Shamari dibuang padang pada lewat perlawanan. Malaysia kini punyai kelebihan 1 pemain untuk mempertahankan gol mereka.
Tamat perlawanan, anak-anak buah Ong Kim Swee meraikan kemenangan mereka dengan girang. Malaysia akan berhadapan dengan juara kumpulan D dalam suku akhir pada Sabtu ini.
Jurulatih Arab Saudi, Daniel Teglia menyalahkan ketumpulan pasukan beliau di hadapan gol.
“Saya rasa, kita semua melihat Malaysia mencipta peluang gol sangat sedikit hanya 1 di dalam perlawanan ini. Kami tenang dalam menangani tekanan tetapi masalah kami adalah penyudah yang tumpul.”
“Tahniah kepada pasukan Malaysia, dan selamat maju jaya di dalam pusingan seterusnya. Apa yang kami gagal lakukan hari ini adalah tidak mampu menyempurnakan percubaan di hadapan gol.”
“Dan beberapa ketika kami agak gugup dan melakukan hantaran yang tidak tepat. Jadi, saya boleh katakan yang kami tidak menggunakan masa kami dengan penguasaan bola sebaik mungkin.”
Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan keputusan ini yang dicapai kerana semangat dan keinginan anak-anak buah beliau.
Beliau juga gembira kerana sejarah tercipta di China dan pemain-pemain membuktikan mereka boleh bermain bola sepak berhadapan dengan pasukan lain di Asia.
Tahniah kepada Harimau Muda! Anda buatkan seluruh rakyat Malaysia bangga hari ini. Malaysia Boleh!