Hafizh Syahrin Abdullah diberikan ucapan tahniah daripada seluruh rakyat Malaysia dan dunia selepas aksi meyakinkan beliau dalam sesi ujian MotoGP di Buriram semalam.
Hafizh Syahrin yang sebelum ini beraksi dalam Moto 2 telah diberikan kepercayaan oleh Monster Yamaha Tech 3 untuk menggantikan Jonas Folger bagi menghadapi kempen 2018.
Tiada istilah gementar bagi pemuda berusia 23 tahun ini. Beliau mempamerkan aksi yang boleh dikatakan bertenaga dalam debut sesi ujian beliau.
Beliau menamatkan sesi ujian di tangga terakhir. Namun catatan masa yang baik dengan jarak hanya 2.368 saat di belakang penunggang Honda LCR, Carl Crutchlow yang mencatatkan 1:30.797 saat.
Cara beliau mengendalikan jentera berkuasa tinggi itu pada penampilan pertama sangat lancar, itu yang lebih penting. Hafizh membuktikan yang beliau memiliki potensi yang sangat baik.

Bercakap kepada sidang media selepas tamat sesi ujian, Hafizh
memberitahu:
“Perkara pertama yang saya nak kata adalah, ianya motosikal yang luar biasa, sangat laju, setiap kali saya memecut, seperti menggunakan jet.”
“Banyak perbezaan dari segi tayar, kawalan ‘traction’. Apabila anda membuka tangki, minyak pun tak panas. Saya tidak sabar-sabar untuk berkenalan lebih lagi dengannya.”
“Saya mahu berterima kasih kepada Tech 3 kerana kepercayaan mereka kepada saya. Hari pertama yang positif secara keseluruhanya. Saya awalnya sudah membayangkan yang saya jauh di belakang pelumba handalan yang lain.”
“Namun saya hanya 2.3 saat di belakang pendahulu. Saya ada hubungan yang sangat baik dengan pasukan dan mereka telah memberikan motivasi dan keyakinan kepada saya.”
“Pada hari ujian kedua, saya tak meletakkan sasaran. Saya hanya mahu memperbaiki pencapaian peribadi dalam setiap sesi.”
Sebelum ini Pegawai Eksekutif, Datuk Razlan Razali memberitahu, Hafizh Syahrin sudah sah menjadi pemandu tetap untuk Tech 3.
Namun ada juga versi berbeza menyatakan bahawa sesi ujian di Buriram ini akan menentukan sama ada Hafizh akan menjadi pemandu tetap mereka bagi musim ini.
Tech 3 masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang kedudukan Hafizh Syahrin. Mereka memilih Hafizh Syahrin pada saat akhir untuk menngantikan Jonas Folger yang terpasa berehat kerana masalah kesihatan.
Ada beberapa penunggang lain yang disaring termasuk Yonny Hernandez. Namun ada kesulitan untuk memberikan penunggang itu kontrak buat masa ini. Jadi, nama Hafizh Syahrin dianggap sebagai yang terbaik untuk diberikan peluang.
Kita pastinya mengharapkan impian Hafizh Syahrin untuk menjadi pelumba MotoGP secara rasmi akan dicapai. Selamat maju jaya kepada Pescao!