Haaland Menamakan Tujuh Penyerang Lebih Handal Darinya

Erling Haaland telah menamakan tujuh pemain penyerang yang beliau rasakan lebih baik dari dirinya sendiri.

Apa yang menariknya, beliau sama sekali tidak meletakkan nama Kylian Mbappe, dalam senarai tujuh penyerang yang dirasakan lebih hebat dari dirinya sendiri.

Haaland mula mencipta namanya sebagai salah seorang penyerang paling digeruni, selepas mempamerkan aksi cukup mantap bersama Red Bull Salzburg musim lalu.

Beliau menjadi mesin pencetak gol yang sungguh mengagumkan terutama ketika beraksi dalam saingan liga Juara-juara.

Beliau menjadi salah seorang pemain yang paling diinginkan oleh kebanyakkan kelab gergasi Eropah pada ketika itu.

Borussia Dortmund akhirnya berjaya untuk menandatangani Haaland pada jendela perpindahan Januari yang lalu.

Penyerang berusia 20 tahun itu tidak menunggu lama untuk membuktikan bahawa beliau sememangnya seorang penyerang berbakat, apabila berjaya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan debutnya bersama Dortmund.

Haaland meneruskan rentak kecemerlangannya ketika beraksi bersama kelab dari Bundesliga itu dan dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia ketika ini.

Namun walau ramai yang beranggapan bahawa Haaland merupakan penyerang terhebat dunia, pemain kebangsaan Norway itu beranggapan masih ada pemain lebih hebat berbanding dirinya sendiri.

Dalam satu temu bual bersama VG, Haaland telah menamakan tujuh penyerang yang beliau rasakan lebih hebat dari dirinya sendiri.

Cristiano Ronaldo, Robert Lewandowski, Sergio Aguero, Roberto Firmino, Pierre Emerick Aubameyang, Harry Kane dan Timo Werner merupakan tujuh pemain yang dipilih oleh Haaland sebagai penyerang yang lebih hebat berbanding dirinya sendiri.

Walaupun nama Messi tidak ada dalam senarai pilihan Haaland, ianya mungkin kerana beliau menganggap ketua pasukan Barcelona itu bukan seorang pemain penyerang.

Apa yang menariknya untuk dibincangkan adalah, nama Kylian Mbappe tidak ada dalam senarai penyerang terbaik pilihan Haaland.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu merupakan antara penyerang muda paling digeruni lawan, ini kerana beliau memiliki kepantasan dan penyudah yang cukup tajam.

Haaland juga memilih Firmino sebagai penyerang yang lebih hebat darinya selepas pemain kebangsaan Brazil itu mempamerkan aksi mantap bersama Mane dan Salah sebagai trio serangan Liverpool.

Walaupun Roberto Firmino tidak menjaringkan gol yang banyak, namun Haaland menilai beliau sebagai penyerang yang hebat dari sudut yang lain.

Bekas penyerang Hoffenheim itu hanya menjaringkan sembilan gol sahaja dalam saingan liga musim lalu sementara Salah dan Mane berjaya menjaringkan lebih 18 gol.

Tetapi, walau gagal untuk menjaringkan gol yang banyak, tidak dinafikan Firmino banyak menyumbangkan assists dan menjadi penggerak utama dalam sistem serangan Liverpool.

Haaland turut menjelaskan mengapa beliau memilih untuk menyertai Dortmund pada awal tahun lalu, walaupun setan merah turut mencuba untuk menandatanganinya.

“Sudah tentu ada beberapa kelab yang terlibat, tetapi pada masa yang sama saya tidak tahu banyak tentang perkara ini, ia terjadi dengan begitu pantas.”

“Tetapi saya lah orang pertama yang menyebut tentang Dortmund kepada ayah saya(Alf Inge Haaland).”

“Kami sedang duduk berehat di rumah di Salzburg sambil menonton perlawanan Dortmund, dan saya bercakap kepada ayah saya, ‘oi, tengok pada tembok di belakang gol. Ada sesuatu yang istimewa di sana.”

“Saya rasa dia separuh sedar di atas sofa ketika itu, tetapi dengan tiba-tiba ianya menjadi kenyataan. Ketika saya bercakap dengan mereka, saya ada perasaan yang cukup baik.”

“Apa yang saya suka sangat tentang mereka adalah sikap berterus terang yang mereka tunjukkan. Mereka menjelaskan sebetulnya bagaimana yang terbaik untuk saya dan saya suka itu.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.