Griezmann Buka Mulut Buat Kali Pertama Mengenai Messi

Antoine Griezmann buat pertama kali membuka mulut mengenai hubungan beliau dengan Messi dan mendedahkan Lionel Messi rasa tidak senang ketika beliau menolak tawaran pertama untuk menyertai Barcelona sebelum ini.

Sejak melengkapkan perpindahan €120 juta dari Atletico Madrid, Griezmann dilaporkan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan kapten pasukan Lionel Messi.

Khabar angin tersebut nyata tidak membantu prestasi Griezman dan Barcelona secara keseluruhannya.

Dokumentari dan Messi

Ketika kali pertama tiba di Nou Camp, Griezmann mengakui perkara pertama yang dilakukannya ialah untuk berjumpa dengan kapten baharunya itu, yang amat mendesak agar Griezmann menerima tawaran dari Barca – sebelum Griezmann bertindak menolak tawaran tersebut melalui dokumentari yang disiarkan ke seluruh Sepanyol.

“Saya berjumpa dan bercakap dengan Leo ketika saya baru tiba,” ujar Griezmann kepada Jorge Valdano dalam edisi terbaru rancangan Universo Valdano.

“Dan beliau [Messi] berkata beliau rasa dikhianati ketika saya menolak tawaran [ke Barcelona] kerana ia adalah permintaan yang beliau lakukan secara terbuka. Tetapi beliau juga berkata akan bersama saya setiap hari, dan saya menyedari perkara itu.

“Apa yang saya mahu tunjukkan dari dokumentari tersebut sebenarnya ialah ia amat sukar untuk meninggalkan sebuah kelab untuk menyertai kelab lain.

“Ramai berfikir ia sekadar satu permainan, dan saya ketawakan penyokong yang berfikir begitu. Saya mahu menunjukkan bagaimana seorang pemain tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dan membuat keputusan.

“Isteri anda, ibu bapa, anak-anak bercakap kepada anda dan kemudian akhirnya anda perlu membuat keputusan.

“Selepas dokumentari tersebut [disiarkan] ibu bapa saya menjadi marah kerana mereka tidak faham apa yang terkandung di dalam dokumentari tersebut. Lagi pun mereka mahu melihat saya bersama Barcelona.”

Kritikan demi kritikan ditujukan kepada Griezmann sejak beliau menyertai Barcelona, dan beliau dianggap gagal menampilkan prestasi yang pernah ditampilkan ketika beliau berada di bawah kendalian Diego Simone di Atletico Madrid.

“Saya menerima [kritikan] kerana menyedari mereka tidak melihat Griezmann yang berada di tahap terbaik. Tetapi pada masa yang sama saya juga menyedari apabils sesuatu berlaku, maka saya jadi orang pertama yang akan dikecam.

“Selama setahun setengah, saya memiliki tiga jurulatih [di Barcelona]. Itu tidak mudah. Saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan begitu juga mereka. Selain itu, terdapat juga perubahan formasi.

“Kemudian semua calon presiden juga bercakap mengenai saya. Saya tidak berpendapat ia perkara yang sihat untuk diri saya apabila mereka berbincang sama ada ada saya adalah pembelian yang bagus atau tidak.”

Perbezaan di Atletico Madrid

Tempoh terbaik di dalam karier Greizmann setakat ini ialah ketika beliau masih di Estadio Wanda Metropolitano, membantu Atletico Madrid menjuarai Europa League pada 2018. dan juga UEFA Super Cup. Griezmann juga adalah anggota skuad Atletico Madrid yang muncul naib juara Champions League pada 2016.

“Ia amat sukar buat saya pada permulaan,” jelas Griezmann lagi.

“Saya tiba di sebuah kelab yang baru memenangi LaLiga Santander, dan saya memenangi tempat saya berdasarkan apa yang saya telah lakukan.

“Malah segalanya amat sukar untuk saya sehingga Disember. Saya sentiasa bersedia untuk jurulatih, dan saya tahu ia sentiasa begitu. Saya sentiasa melakukan apa yang jurulatih mahukan, walaupun secara peribadi saya menyedari permintaan itu akan membuatkan saya merana.

“Ketika bersama Cholo [nama panggilan Simone], setiap sesi latihan adalah seperti satu perlawanan dan amat berintensiti. Setiap pemain sentiasa mahukan lebih lagi: Koke, Gabi, profe [Oscar] Ortega.

“DI Atleti setiap pemain akan berlari dan semua orang akan bergerak ke setiap penjuru, dan saya juga terus melakukan perkara yang sama. Keadaan di bilik persalinan amat baik. Kami akan adakan perjumpaan dan makan bersama. Dan ketika kami kalah, tidak akan ada rasa tersingung antara satu sama lain.”

Mereka tidak tahu bola sepak

Bekas ejen Eric Olhats dan pakcik kepada Griezmann, Emmanuel Lopes seperti kita ketahui secara terbuka membuat kenyataan mengkritik Messi dan hubungan pemain dari Argentina itu dengan Griezmann.

Penyerang antarabangsa Perancis dan pemenang Piala Dunia itu bagaimana pun menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

“Saya sudah tidak berhubung dengan [bekas ejen] Eric Olhats sejak saya berkahwin,” kata Griezmann.

“Saya ada menjemput beliau ke majlis perkahwinan saya, namun beliau tidak hadir. Sejak dari itu saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan dia.

“Pakcik saya pula tidak tahu bagaimana bola sepak dimainkan. Wartawan dan media pula memperolehi kenyataan tersebut dari dia. Saya sudah jelaskan kepada Leo bahawa saya tidak pernah pun bercakap dengan dia. Nombor telefonnya pun tidak pernah ada di dalam simpanan saya.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.