Glenn Cunningham Juara Yang Dilahirkan Dari Api

Kebanyakan sejarah atlet terhebat dunia bermula dengan bakat dan latihan dari usia yang muda. Bagaimanapun, bagi Glenn Cunningham yang ketika itu berusia tujuh tahun, beliau bersyukur untuk dapat terus hidup. Glenn pernah terlibat dalam satu kebakaran yang hampir meragut nyawanya pada tahun 1916.

Foto – Kansas Memory

Kebakaran itu telah membunuh abangnya dan meninggalkan Glenn dalam keadaan yang sangat kritikal dan menyedihkan. Doktor hampir memotong kaki beliau dalam usaha untuk menyelamatkan nyawanya yang ketika itu ibarat seperti telur di hujung tanduk. Bagaimanapun ibu-bapa Glenn menolak cadangan doktor dan hanya mampu berdoa yang terbaik untuk anak mereka. Keajaiban berlaku apabila Glenn berjaya hidup dan keluar dari episod tragedi yang hampir membunuhnya itu.

Beliau kemudian beransur sembuh secara perlahan-lahan, tetapi walaupun telah sembuh, kesan dari tragedi itu telah menyebabkan kecacatan kepada fizikal Glenn. Kedua pergelangan kakinya rosak, ibu jari kaki kirinya pula hampir hangus, dan kaki kanannya pendek beberapa inci daripada kaki kiri. Doktor merisaukan keadaan beliau yang dijangka mungkin tidak akan dapat berdiri apatah lagi berjalan. Bagaimanapun dengan semangat dan kemahuan yang kuat, Glenn berazam untuk sembuh dan memulakan rawatan secara berperingkat.Kebiasaan untuk kanak-kanak seusia beliau pasti akan mengalami trauma yang berpanjangan dan berputus asa, tetapi tidak bagi Glenn.

Selepas beberapa minggu gigih menjalani rawatan, Glenn telah mendapat kejayaan kecil apabila mampu berjalan menggunakan topang. Beberapa bulan kemudian, beliau berjaya berdiri dengan sendiri tanpa bantuan dari sesiapa. Dan selepas sembilan bulan dari peristiwa dahsyat itu, Glenn telah berjaya berjalan semula tanpa bantuan dari topang lagi.

Keazaman beliau untuk sembuh menyebabkan beliau berjalan dalam kesakitan. Bagi mengatasinya, Glenn akan berlari untuk membiasakan dirinya dengan kesakitan itu. Sedangkan berjalan pun sudah cukup payah, apatah lagi apabila berlari, namun kesakitan yang ditanggung tidak pernah melunturkan semangatnya untuk sembuh. Glenn terus berlari untuk lima dan enam tahun kemudian.

Pada usianya 12 tahun, berkat latihan dari berlari yang selalu dilakukannya, Glenn telah berjaya memenangi perlumbaan pada peringkat sekolah menewaskan rakan-rakannya. Sepuluh tahun kemudian, beliau merupakan seorang atlet lumba lari yang hebat.

Ketika di sekolah tinggi Glenn adalah seorang atlet yang menyertai pelbagai sukan. Beliau bermain American Football, bola keranjang, dan sukan trek walaupun beliau perlu mengambil masa yang lama untuk memanaskan badan sebelum memulakan sesuatu acara.

Glenn Cunningham bersalam dengan Jack Lovelock’s di Sukan Olimpik, 1936 – Foto Kansas Memory

Pada waktu seniornya di sekolah tinggi, beliau berjaya memecahkan rekod dunia untuk pelajar sekolah tinggi dalam acara larian jarak jauh dengan masa 4:24 jam. Dengan pencapaian itu, Glenn telah diterima masuk ke University Of Kansas dan merupakan ahli kepada pasukan trek universiti berkenaan. Tidak beberapa lama kemudian Glenn mula mencipta nama sebagai atlet elit di dalam sukan itu.

Pada tahun 1933, 16 tahun selepas insiden yang hampir menyebabkan beliau kehilangan kaki dan meragut nyawanya, Glenn Cunningham telah mencipta rekod dunia acara larian jarak jauh dengan masa 4:06.7 jam! Tahun seterusnya beliau terus menjadi lagenda di dalam bidangnya dengan memenangi beberapa siri perlumbaan dan berjaya mencatatkan rekod peribadi terbaik 4:04.4 jam dalam satu acara yang tidak didedahkan.

Glenn Cunningham & Archie San Romani, Lawrence, Kansas

Pada tahun yang sama juga beliau telah menerima Ph.D. dalam bidang physical education di New York University. Beliau kemudiannya menjadi pensyarah dan mengajar physical education di Cornell University dari tahun 1940 sehingga 1944. Beliau kemudiannya menyertai angkatan tentera laut dan mendapat pangkat leftenan. Beliau telah membantu pasukan tentera mencipta program latihan fizikal di beberapa kem dan juga melawat hospital tentera untuk memantau dan memberikan nasihat kepada askar-askar yang tercedera.

Bagaimanapun selepas segala kejayaan yang telah dikecapi beliau, pencapaian terbesar dan paling bermakna untuknya ialah membantu golongan kanak-kanak kurang upaya selama lebih daripada tiga dekad. Dengan bantuan isterinya pula, beliau telah membina rumah asuhan untuk kanak-kanak istimewa di Kansas yang diberi nama Glenn Cunningham Youth Ranch. Beliau telah mengeluarkan wang dari poket beliau sendiri dalam usaha untuk menjalankan operasi rumah asuhannya walaupun ada ketikanya beliau sendiri terpaksa ikat perut.

Glenn kemudiannya juga telah menjual tanahnya di Arkansas untuk membina sebuah lagi rumah asuhan. Sepanjang hidupnya, beliau telah membantu lebih dari 10000 kanak-kanak kurang upaya untuk menjalani kehidupan. Beliau juga telah mengambil 12 orang kanak-kanak kurang upaya menjadi anak angkatnya.
Pada tahun 1970, ketika ditemuramah, beliau telah memberikan kata-kata yang cukup berinspirasi, “selagi anda percayakan sesuatu, tiada yang mustahil.”

Pada tahun 1988, Glenn Cunningham telah meninggal dunia pada usia 78 tahun. Beliau dikenali sebagai seorang lelaki yang memiliki karakter kuat dan berkeyakinan tinggi. Legasi yang ditinggalkannya adalah suatu pencapaian yang sangat menakjubkan samada dari segi sukan mahupun kemanusiaan.

“Sebelum mampu untuk terbang, anda perlu belajar untuk berdiri, berjalan, berlari, memanjat dan menari.” –Friedrich Nietzsche

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sharell Eizwan untuk diterbitkan di Sukan.my

Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.