Giggs Dedah Beliau Pernah Ditumbuk Oleh Van Gaal Ketika Pertemuan Pertama Mereka

Ryan Giggs telah mendedahkan bahawa Louis Van Gaal pernah menumbuk perutnya ketika sesi pertemuan pertama mereka.

Ryan Giggs telah dilantik sebagai pengurus sementara setan merah selepas David Moyes dipecat oleh pimpinan kelab.

Manchester United kemudiannya telah melantik Louis Van Gaal sebagai pengurus baharu kelab pada tahun 2014 dan Giggs telah dilantik untuk menjadi pembantu kepada pengurus Belanda itu.

Van Gaal sangat menghiburkan ketika dalam sesi sidang media atau dalam mana-mana temu bual, namun beliau gagal untuk menjadi pengurus yang hebat untuk kelab segah Manchester United.

Selepas dua tahun berkhidmat dan membantu United menjuarai saingan Piala FA, Louis Van Gaal kemudiannya turut dipecat dari menjadi pengurus setan merah.

Giggs pula sebelum ini telah menghabiskan hampir sepanjang kariernya untuk beraksi di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan beliau menganggap bahawa bekas pengurus Barcelona itu seorang yang sangat dominan dan aneh.

Giggs dalam satu temu bual telah menceritakan semula kisah yang beliau rasakan aneh ketika pertemuan pertamanya dengan Louis Van Gaal.

“Dia sangat lain. Dia seorang yang sangat dominan.”

Jelas Giggs dalam Greatest Game podcast yang dikelolakan oleh Jamie Carragher.

“Pertama kalinya saya berjumpa dengan dia, dia telah menumbuk perut saya.”

“Saya harus pergi berjumpa dengannya dan ketika itu saya membawa senarai beberapa pemain yang saya fikirkan bagus serta ada juga senarai pemain yang saya rasakan tidak bagus.”

“Saya pergi berjumpanya di sebuah hotel, dia membuka pintu, dia kemudian melihat saya atas bawah dan dia terus menyatakan bahawa saya berada dalam keadaan yang cukup baik lalu terus melepaskan tumbukan di bahagian perut saya.”

“Tumbukan itu kuat juga dan saya sendiri tidak tahun hendak buat apa ketika itu. Saya mungkin sepatutnya perlu membalas tindakan dia namun saya boleh hilang kerja.”

“Tapi memang macam itulah dia. Dia seorang yang sangat dominan dan akan sentiasa bercakap betul-betul depan muka kamu.”

“Situasi penjarakan sosial sekarang pastinya mimpi ngeri untuk dia. Dia jenis orang yang akan datang depan muka kamu untuk bercakap dan mestinya dia akan tengok kamu atas bawah.”

“Dia selalu menjaga serta prihatin terhadap semua staff dan pemain. Dia juga sememangnya seorang yang sangat baik cuma dia sedikit pelik sahaja.”

Selepas Van Gaal dipecat, Jose Mourinho telah dilantik sebagai pegurus di Old Trafford dan Giggs sepertinya turut pergi meninggalkan United selepas kelab diambil alih oleh bekas pengurus Chelsea itu.

Beliau telah menjadi pengurus untuk skuad kebangsaan Wales sejak dari tahun 2018. Walaupun impiannya untuk menguruskan pasukan kelab masih kuat, namun beliau merasakan harapan untuk berpeluang mengurus Manchester United sepertinya sudah tiada.

“Saya sentiasa gembira dengan kerja yang saya dapat.”

Giggs memulakan perbicaraan.

“Saya tidak nampak peluang untuk kembali ke Manchester United. Saya harus katakan bahawa saya gembira dengan kerja saya bersama pasukan kebangsaan Wales. Ada banyak kelebihan dan ada ada juga kekurangan.”

“Saya rasa saya sangat berminat untuk menguruskan pasukan kelab, tetapi bila waktunya itu saya tidak pasti.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.